Bekas pemain pertahanan kebangsaan, Mahali Jasuli mencadangkan skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) dihantar beraksi dalam saingan ASEAN Mitsubishi Electric Cup (AMEC) 2024.
Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) belum memutuskan sama ada menghantar Harimau Malaya atau skuad B-23 ke kejohanan berkenaan.
Ini kerana keputusan tentang penyertaan skuad senior ke saingan AMEC hanya akan diputuskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Skuad Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin.
Mahali merasakan dengan menghantar pasukan yang dibimbing Juan Torres Garrido itu menyertai AMEC, ia dilihat satu pilihan yang bagus.
Pandangan pemain KL City FC itu dibuat dengan mengambil kira AMEC diadakan tatkala saingan Liga Super, Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) dan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) masih lagi berjalan.
Mahali percaya skuad B-23 negara mampu memberi saingan di pentas ASEAN kerana pasukan tersebut merupakan satu pasukan yang bagus.
“Sesuatu yang sukar bila liga masih berjalan dan sama dengan tarikh Piala AFF. Dan kita lihat skuad B-23 skuad yang paling sesuai untuk menggantikan skuad negara.
“Jika (pilih) skuad B-23 pun, kita masih memiliki pasukan yang baik untuk kejohanan ini,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Mahali ditemui selepas acara Jelajah Trofi AMEC yang diadakan di Shah Alam pada 12 Oktober lalu.
Selain bekas pemain pertahanan Harimau Muda itu, dua lagi bekas tonggak kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha dan Amri Yahyah turut memeriahkan acara berkenaan.
Saingan AMEC bakal berlangsung dari 8 Disember 2024 hingga 5 Januari 2025. Malaysia berada dalam Kumpulan A bersama juara bertahan Thailand, Singapura dan Kemboja.
Manakala Brunei dan Timor Leste pula bakal berentap untuk menentukan pasukan terakhir yang berada dalam kumpulan berkenaan. Ketika ini, Timor Leste memiliki kelebihan satu gol sebelum aksi kedua playoff pada 15 Oktober ini.