Malayan Tigress dijangka kembali berada dalam kelompok 100 pasukan terbaik dunia.
Penilaian itu dibuat akaun X, Harimau MYstats selepas melihat prestasi yang dipamerkan anak buah Joel Cornelli sepanjang kempen kelayakan Piala Asia Wanita 2026.
Skuad wanita negara terlepas peluang layak secara merit ke Piala Asia Wanita 2026. Ini selepas Malayan Tigress dibelasah Korea Utara 6-0.
Meskipun tewas dalam aksi terakhir kumpulan, Harimau MYstats menyifatkan anak buah Cornelli mempamerkan prestasi yang cukup memberangsangkan.
Ini kerana Malaysia berjaya menewaskan Palestin dan Tajikistan. Selain itu, gawang skuad negara yang dikawal Azurin Mazlan hanya dibolosi sebanyak enam kali.
Ini sama sekali jauh berbeza dengan Palestin dan Tajikistan yang masing-masing dibolosi sebanyak 11 dan 14 kali.
Keputusan tiga aksi kelayakan Piala Asia Wanita 2026 menyaksikan Malayan Tigress meraih 11.32 mata. Dua kemenangan menyaksikan Malaysia meraih +5.96 dan+5.46 mata dengan kekalahan hanya berkurangan sebanyak 0.10 mata.
Kutipan mata tersebut dilihat cukup untuk Malaysia kembali berada dalam kelompok 100 pasukan terbaik. Kedudukan ranking semasa menyaksikan Malayan Tigress berada di ranking ke-102 dunia.