Malaysia Airlines Diumum Sebagai Penaja, JDT Bakal Dikenali Seluruh Dunia
MakanBola
Johor Southern Tigers
Sponsors

Juara lapan kali Liga Super, Johor Darul Ta’zim hari ini mengumumkan bahawa syarikat penerbangan Malaysia, Malaysia Airlines Berhad merupakan salah satu penaja mereka musim ini.

Syarikat Malaysia Airlines merupakan salah satu daripada 8 syarikat penerbangan lain di seluruh dunia yang mendapat pengiktirafan 5 bintang oleh Skytrax.

Ad

Pemilik JDT, Tunku Ismail Idris ibni Sultan Ibrahim Ismail (TMJ) berkata ianya satu penghormatan buat pasukan JDT untuk menerima penajaan dari Malaysia Airlines yang merupakan satu jenama yang besar dan merangkul pelbagai anugerah dalam bidang hospitaliti.

Ad

“Jadi saya memang bangga dengan kerjasama dan mendapat penajaan dari Malaysia Airlines kerana macam yang saya pernah katakan sebelum ini, kejayaan sebuah kelab bukan hanya diukur di dalam padang saja tetapi di luar padang.

“Anda semua dapat lihat JDT kini agresif dalam agenda nilai komersial kelab dan infrastruktur bola sepak. Ini membuatkan JDT berlainan dengan kelab lain di dalam negara. Kami akan berterusan mencipta sejarah.” jelas Tunku Ismail.

Ad

TMJ mendedahkan bahawa dokumentari Fearless: Rise Of Johor Southern Tigers bakal dipertontonkan di dalam penerbangan antarabangsa Malaysia Airlines yang pastinya menguntungkan kelab kerana bakal disaksikan jutaan penonton.

Ad

Pengarah Operasi Malaysia Airlines, Kapten Izham Ismail juga dilihat sangat teruja dengan kerjasama ini dan mengatakan kerjasama ini juga bakal menguntungkan negeri Johor kerana untuk tahun 2022 kehadapan, Malaysia Airlines lebih memfokuskan kepada penerbangan dari negeri Johor ke destinasi lain.

Ad

Malaysia Airlines terbang ke 1,100 destinasi di 150 buah negara seluruh dunia dan akan fokus kepada negeri Johor sebagai hub penerbangan baharu mereka terutama ke destinasi Malaysia Timur.

Ini sekaligus memastikan jenama JDT mendapat lebih 75 juta tontonan hasil dari beberapa siri usaha strategik yang telah dirancang oleh JDT bermula dari video pengenalan bahagian pertama jersi JDT Nike Home & Away 2022 tempoh hari dan satu lagi kerjasama bersama artis terkenal antarabangsa menerusi satu ‘worldwide release’.

Dengan penajaan ini bermakna sejarah telah tercipta bahawa JDT merupakan kelab pertama dalam negara yang mendapat penajaan dari syarikat penerbangan.