Pengendali pasukan Malaysia Bawah 16 Tahun (B-16). Javier Jorda Ribera membawa skuad terkuat untuk kempen kelayakan Piala Asia B-17 2025.
Ini selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai 23 orang pemain yang akan membawa cabaran negara dalam Kumpulan H di Vientiane, Laos.
Majoriti pemain yang dipanggil Ribera untuk skuad ini datang dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD) B-16 dan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) IV.
Adam Mustaqim Ahmad Imran mengetuai 10 pemain AMD B-16. Manakala Adam Hakimi Mohd Zaki mengetuai kontinjen JDT IV.
Pasukan ini turut diperkuatkan dengan kehadiran penjaring kedua terbanyak Piala Belia 2024, Izzuddin Afif Nazarudin. Izzuddin merekodkan 13 gol musim ini di belakang penjaring terbanyak dari Selangor FC, Hatif Irfan Che Hamizi.
Skuad ini turut mendapat suntikan dua pemain yang berpangkalan di luar negara iaitu Kaveen Waran dan Kim Johan Nyo Tegnander. Tegnander beraksi untuk kelab FK Jerv dengan Kaveen (Perth Soccer Club).
Malaysia berada dalam Kumpulan H bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan tuan rumah, Laos. Malaysia membuka kempen kelayakan dengan menentang UAE pada 23 Oktober.
Malaysia berharap dapat merealisasikan sasaran Ribera untuk layak ke Piala Asia B-17 buat kali ketujuh dalam sejarah kejohanan.