Skuad Malaysia Bawah 19 Tahun (B-19) mula mengatur persiapan pusingan kelayakan Piala Asia B-20 2025 dengan menyertai kejohanan empat penjuru di China.
Kejohanan tersebut ialah CFA Team International Friendly Tournament yang bakal berlangsung dari 4 hingga 10 September ini. Kejohanan ini menampilkan tiga lagi pasukan Asia B-21 iaitu tuan rumah China, Vietnam dan Uzbekistan.
Selain untuk menguji persiapan pasukan itu menghadapi pusingan kelayakan, ini juga peluang buat skuad negara menguji China dan Uzbekistan.
Ini kerana kedua-dua pasukan itu memiliki profil yang hampir sama dengan Korea Utara dan Tajikistan, lawan Malaysia dalam Kumpulan E.
Kejohanan ini turut menyaksikan peranan jurulatih Harimau Malaya B-19 bakal digalas oleh Shukor Adan dan Noor Zaidi Rohmat.
Ini disebabkan jurulatih skuad B-19 negara, Juan Torres Garrido tidak dapat menyertai pasukan kerana terikat dengan tugasan skuad senior Malaysia.
Sebelum ini, nama jurulatih Sepanyol itu diumumkan sebagai penolong jurulatih kepada pemangku jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente. Beliau bakal sibuk kerana skuad senior negara mengharungi Pestabola Merdeka 2024 yang berlangsung pada bulan yang sama.
Garrido akan kembali membimbing pasukan B-19 selepas selesai tugasannya bersama Harimau Malaya. Seramai 23 pemain telah dipanggil dengan pemain-pemain Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) dan Selangor FC membentuk teras pasukan.
Skuad B-19 negara bakal memulakan kempen CFA Team International Friendly Tournament dengan menentang Uzbekistan pada 4 September. Ini disusuli dengan China pada 7 September.
Musuh tradisi Malaysia di peringkat ASEAN, Vietnam bakal menjadi lawan terakhir skuad Malaysia B-19 pada 10 September.