Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei bangga dengan pencapaian yang dilakar bekas juara dunia 2022, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.
Aaron-Wooi Yik muncul juara Badminton Asia Championships (BAC) 2025 apabila menewaskan wakil China, Chen Bo Yang-Liu Yi di peringkat akhir.
Juara Korea Masters 2024 itu meraih kemenangan bergaya dengan keputusan 21-19, 21-17. Kejayaan ini bukan saja menebus kehampaan mereka tewas di pentas final kejohanan edisi 2022.
Malah, Aaron-Wooi Yik mengakhiri kemarau beregu lelaki negara muncul juara Asia selama 17 tahun. Kali terakhir pencapaian itu dilakar menerusi gandingan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah.
Chong Wei percaya kemenangan ini menjadi kenyataan disebabkan semangat juang, kemahiran dan ketabahan luar biasa beregu negara itu di atas gelanggang.
“Tahniah yang sebesar-besarnya kepada Aaron Chia dan Soh Wooi Yik atas kemenangan hebat anda di BAC hari ini!
“Anda berdua menunjukkan semangat juang, kemahiran dan ketabahan yang luar biasa di gelanggang. Malaysia bangga dengan anda!” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Kejayaan ini dijangka menyuntik semangat Aaron-Wooi Yik terutama menjelang saingan Sudirman Cup 2025 yang membuka tirainya pada akhir April ini.