Skuad Malaysia Bawah 16 Tahun (B-16) membuka kempen Kumpulan C Kejuaraan B-16 ASEAN 2024 dengan menewaskan Timor Leste dalam aksi pertama kumpulan.
Kedua-dua pasukan memburu kemenangan dalam aksi pertama Kumpulan C selepas Australia dan Thailand terikat tanpa jaringan dalam aksi awal kumpulan.
Skuad negara yang dibimbing Javier Jorda Ribera menurunkan barisan terkuat termasuk dua peledak berbisa skuad muda Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Arayyan Hakeem Norizam dan Fahmi Nor Farizamal.
Sebaik perlawanan bermula, skuad negara mula mengancam kubu pertahanan Timor Leste menerusi sepakan percuma Aisy Mirza Azri pada minit kelima. Malangnya, percubaan itu mudah diselamatkan penjaga gol lawan, Joao Baptista.
Kesungguhan skuad muda negara mendapatkan gol akhirnya membuahkan hasil menerusi Izzuddin Afif Nazarudin pada minit ke-35. Selepas kehilangan bola pada awalnya, Izzuddin menggelecek seorang pemain Timor Leste sebelum meledakkan gol pertama Malaysia.
Tersentak, Timor Leste bangkit memburu gol penyamaan. Gawang Malaysia yang dikawal Naqqiudin Zamzuri hampir dibolosi pada minit akhir babak pertama menerusi Rivaldinho tetapi pantas dinafikan penjaga gol JDT itu.
Kecekapan yang ditampilkan Naqqiudin memastikan keputusan 1-0 kekal memihak kepada skuad negara sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, anak buah Ribera semakin ghairah memburu gol tambahan untuk mempertahankan kelebihan mereka.
Hasilnya, Malaysia menggandakan kelebihan gol mereka pada minit ke-56. Izzuddin Afif membuat hantaran dari sebelah kanan yang mudah disempurnakan Fahmi dari jarak dekat.
Skuad negara makin selesa di hadapan menerusi Awal Wafiy Ahmad Syukri pada minit ke-67. Tindakan Baptista yang keluar dari kotak penalti pantas dihukum Awal Wafiy sebelum melepaskan rembatan leret ke arah gol.
Arayyan kemudiannya mencipta nama sebagai penjaring dengan melepaskan rembatan dari luar kotak penalti pada minit ke-79.
Awal Wafiy melengkapkan malam gemilang skuad muda negara dengan meledakkan gol kelima pada minit ke-89. Keputusan 5-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Malaysia mendahului Kumpulan C dengan tiga mata. Sementara Timor Leste di tangga tercorot kumpulan tanpa sebarang mata.
Selepas ini, Malaysia bakal menentang Australia pada 26 Jun. Sementara Timor Leste pula perlu menang ke atas Thailand pada hari sama jika ingin menghidupkan peluang ke separuh akhir.