Jurulatih skuad B-23 Malaysia, E. Elavarasan mahu merealisasikan sasaran melepasi pusingan kelayakan agar dapat beraksi di Piala Asia B-23 2024 di Qatar.
Beliau melihat sasaran tersebut tidak mustahil boleh dicapai memandangkan majoriti pemain yang dibawa ialah pemain-pemain sama yang beraksi dalam Sukan SEA 2023 dan Piala AFF B-23 2023.
“Kita datang ke sini dengan satu sasaran untuk sekurang-kurangnya mendapatkan satu slot kelayakan ke pusingan akhir (Piala Asia B-23 2024).
“Skuad Malaysia ialah skuad yang sama. Kita buat penggiliran pemain dalam semua kejohanan dengan tujuan menimba pengalaman. Dan harapnya pemain-pemain yang dibawa ini dapat berikan yang terbaik dalam kejohanan ini,” katanya dalam sidang media pra-pusingan kelayakan hari ini.
Malaysia berada dalam Kumpulan H bersama tuan rumah Thailand, Filipina dan Bangladesh. Juara setiap kumpulan dan empat naib juara kumpulan terbaik akan layak secara merit ke Piala Asia B-23 2024.
Pertembungan Malaysia dengan Thailand dalam kumpulan ini dijangka menarik. Ini disebabkan skuad Gajah Perang menafikan peluang Harimau Muda meraih tempat ketiga Piala AFF B-23 pada bulan lepas.
Malaysia bakal memulakan kempen kelayakan Kumpulan H dengan menentang Bangladesh di Stadium Chonburi, Chonburi esok.