Skuad Malaysia Bawah 19 Tahun (B-19) meraih kemenangan besar 4-1 ke atas pasukan KL City FC Extension dalam aksi persahabatan tertutup hari ini.
Perlawanan ini merupakan sebahagian daripada persiapan anak buah Juan Torres Garrido untuk menghadapi Kejuaraan B-19 ASEAN 2024 yang diadakan di Surabaya, Indonesia dari 17 hingga 29 Julai ini.
Walaupun perlawanan ini merupakan aksi pemanas badan, skuad negara tampil garang pada babak pertama.
Penyerang muda Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) II, G. Pavithran meletakkan skuad negara di hadapan pada minit ke-22. Sembilan minit kemudian, Naim Zainudin menggandakan kelebihan Malaysia.
Bintang muda Selangor FC II, Haykal Danish Mohd Haizon memastikan skuad negara makin selesa di hadapan dengan gol pada minit ke-40. Keputusan 3-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, KL City Extension yang dibimbing Nidzam Adzha Yusof berusaha merapatkan jurang gol dengan skuad negara.
Hasilnya, pemain tengah Amreel Iqbal Hafiz merapatkan jurang buat pasukan Lembah Klang itu menerusi gol pada minit ke-51.
Gol tersebut tidak menjejaskan rentak anak buah Garrido. Sebaliknya, mereka meraih gol keempat menerusi seorang lagi bintang muda Selangor, Zamirul Hakim Mohamad Khair pada minit ke-78.
Kelebihan empat gol yang dimiliki skuad Malaysia B-19 itu terus dipertahankan sehingga tamat perlawanan.
Kejuaraan B-19 ASEAN 2024 menyaksikan Malaysia berada dalam Kumpulan C bersama Thailand, Singapura dan Brunei.