Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pasukan kebangsaan, Rob Friend melihat bahawa Malaysia merupakan gergasi bola sepak yang sedang tidur.
Beliau dalam satu kenyataan oleh FA Malaysia teruja dengan visi besar yang dibawa oleh pasukan kebangsaan di bawah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan juga DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor.
Individu yang dikenali sebagai Robert Douglas Friend ini melihat peluang untuk menyertai pasukan kebangsaan sebagai salah satu detik yang terbaik buat dirinya.
“Ini merupakan satu peluang yang baik buat diri saya. Saya cukup teruja untuk menyertai revolusi skuad Harimau Malaya. Malaysia umpama sang gergasi yang sedang tidur.
“Saya sudah bersedia untuk bekerjasama dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), pemegang taruh yang terlibat seterusnya bersama-sama membangunkan sukan bola sepak di negara ini (Malaysia),” katanya.
Beliau juga cukup teruja dengan visi DYAM Tunku Ismail yang memiliki karakter kepimpinan dan karisma untuk memacu lebih banyak kejayaan buat pasukan kebangsaan.
“Apa yang membuatkan saya teruja untuk membantu Malaysia adalah visi FAM dan visi Tunku Ismail. Oleh kerana itu, saya berada di sini. Baginda merupakan orang yang paling berwawasan yang pernah saya temui.
“Ketika saya bertemu dengan Tunku Mahkota Ismail, baginda menjelaskan tentang projek revolusi skuad Harimau Malaya. Pada pendapat saya, ini merupakan projek paling mengujakan dalam industri bola sepak global.
Beliau menganggap peluang terlibat sama dengan bola sepak Malaysia sebagai unik untuk kembali mengangkat martabat bola sepak kebangsaan.
“Saya turut melihat bahawa ini merupakan peluang yang unik untuk membangunkan bola sepak di Malaysia,” ujarnya.
Rob memiliki pengalaman luas sebagai pemain serta dalam bidang pengurusan dan pentadbiran selain diharapkan mampu memberikan satu suntikan baharu kepada pasukan kebangsaan.
Hal ini termasuklah dalam menguruskan perancangan dan program membabitkan pasukan kebangsaan terutama skuad senior dan B-23 kebangsaan pada tempoh permulaan ini.