Menjelang aksi persahabatan menentang China, skuad kebangsaan Malaysia harus berwaspada dengan kelibat pemain kacukan dan naturalisasi China yang menjadi tunjang utama pasukan mereka.
China mula melakukan projek naturalisasi sejak tahun 2019 lagi berdasarkan status pemain kacukan dan pemain yang telah lama menetap di China bagi memperkuatkan pasukan kebangsaan mereka.
Antara pemain naturalisasi yang dipanggil untuk aksi menentang Malaysia kelak ialah Nico Yennaris, Elkeson dan Tyias Browning.
Nico Yennaris (Li Ke)
Nico Yennaris ataupun Li Ke merupakan pemain tengah bertahan yang kini beraksi untuk pasukan Beijing Guoan.
Pemain berusia 30 tahun ini merupakan produk akademi Arsenal namun beliau berpindah keluar pada tahun 2014 untuk menyertai Brentford.
Nico Yennaris sudah melakukan 6 penampilan buat pasukan China dan sebelum ini turut pernah beraksi untuk pasukan England bawah 19 tahun pada tahun 2010.
Yennaris kemudian menyertai Beijing Guoan pada tahun 2019 dan status ibunya yang merupakan warga China membenarkan beliau bermain untuk China.
Tyias Browning (Jiang Guangtai)
Tyias Browning atau nama China beliau iaitu Jiang Guangtai juga mempunyai ibu yang merupakan warga China.
Pemain pertahanan tengah Shanghai Port ini lahir di Liverpool dan merupakan pemain akademi Everton. Malah pemain ini turut pernah beraksi dibawah Gareth Southgate untuk pasukan England bawah 20 pada tahun 2014.
Berketinggian 1.87 m, Tyias Browning kini menjadi benteng kebal pasukan China dan telah melakukan 16 penampilan buat skuad China dan turut menyumbang 1 gol dalam perlawanan menentang Palestin.
Elkeson (Ai Kesen)
Elkeson yang merupakan pemain kelahiran Brazil pula menjadi pemain naturalisasi kebangsaan China setelah menetap lebih 10 tahun di negara berkenaan.
Elkeson ataupun Ai Kesen kini sudah berusia 34 tahun dan beraksi di posisi penyerang tengah.
Penyerang ini telah menjaringkan 5 gol dalam 21 penampilan liga buat masa ini. Untuk pasukan China, Elkeson berjaya menjaringkan 4 gol dan mencipta 3 bantuan jaringan dalam 15 penampilan.
Terdapat beberapa lagi nama pemain naturalisasi yang lain seperti Pedro Delgado, Alan Carvalho dan Fernandinho namun hanya 3 pemain tersebut yang dipanggil untuk aksi menentang Malaysia dan Syria.