Advertisements
“Malaysia Hilang Jurulatih Berjiwa Besar” – Kamarul Ariffin
Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Bekas pengurus skuad senior Malaysia, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar menyifatkan tindakan Kim Pan-gon mengundur diri sebagai jurulatih merupakan satu kehilangan buat negara.

Sebelum ini, ramai peminat bola sepak negara terkejut apabila jurulatih Korea Selatan berusia 55 tahun itu meletak jawatan sebagai jurulatih skuad senior Malaysia pada Julai lalu.

Susulan itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan jurulatih Sepanyol, Pau Marti Vicente sebagai pemangku jurulatih Harimau Malaya.

Kamarul mengakui tahu tentang niat Pan-gon untuk meletak jawatan. Ini selepas bekas jurulatih Hong Kong itu bertemu dengannya beberapa hari sebelum pengumuman peletakan jawatan beliau dibuat.

Atas sebab itu, apabila Pan-gon membuat pengumuman tersebut, Kamarul merasakan ketiadaan jurulatih Korea Selatan itu satu kehilangan buat Malaysia. Ini kerana pengendali Ulsan HD itu seorang yang berjiwa besar dan sentiasa berusaha demi Harimau Malaya.

“Saya rasa Malaysia kehilangan jurulatih yang sangat berwibawa, yang mempunyai hati dan perasaan untuk skuad Harimau Malaya,” katanya semasa menjadi tetamu program audio siar Padu Podcast.

Kamarul berpandangan sedemikian kerana sentiasa bekerjasama dengan Pan-gon semasa menggalas peranan sebagai pengurus pasukan Harimau Malaya.

Dan beliau percaya pemergiannya didorong bukan saja kerana tawaran kelab juara K-League 1 itu. Malah, faktor kecewa turut mendorong Pan-gon memilih meninggalkan Harimau Malaya.

“Saya bersama beliau hampir setiap masa sepanjang beliau berada di Malaysia, kami membina hubungan bersama.

“Saya tak merasakan dia mendapat tawaran yang lebih baik hingga dia meninggalkan Malaysia. Selebihnya, lebih kepada dia mungkin agak kecewa. Itu saja yang saya boleh cakap,” ujarnya.

Sejak menyertai The Tigers, Pan-gon telah membantu pasukan itu muncul juara K-League 1 buat kali ketiga berturut-turut baru-baru ini.