Khabar kurang baik buat kem skuad B-23 negara selepas penyerang sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin dilaporkan mengalami kecederaan.
Pemain berusia 22 tahun itu diturunkan dalam kesebelasan utama berdepan Filipina bagi aksi kedua Kumpulan H setelah menewaskan Bangladesh 2-0 pada aksi pembukaan.
Beliau menjadi watak penting buat pasukan bimbingan E. Elavarasan untuk mencatat gol seawal 20 saat menerusi ledakan kapten pasukan, Mukhairi Ajmal.
Pemain KV Kortrijk di Belgium ini membentuk gandingan serasi pada bahagian kiri padang apabila membuka ruang buat T. Saravanan menjaringkan gol kedua pasukan.
Detik duka hadir menjelang akhir babak pertama selepas beliau dilihat mengerang kesakitan.
Beliau dilihat diberikan rawatan oleh pegawai perubatan di atas padang namun aksinya tidak dapat diteruskan pada babak kedua.
Luqman dikeluarkan kerana kecederaan pada lutut kiri yang difahamkan berpunca daripada kesilapan ketika melompat dalam perebutan bola.
Pertukaran itu masih tidak diketahui berpunca untuk mengelakkan risiko lebih buruk atau sememangnya beliau tidak dapat meneruskan permainan.
Ketiadaan anak jati Kelantan ini sudah pasti memberi kesan yang besar buat jentera serangan negara.
Babak pertama tamat dengan keputusan 3-0 memihak kepada Malaysia.