Aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek hari ini membabitkan pertembungan antara pasukan Kyrgyzstan dan Malaysia.
Malaysia dibawah kendalian Kim Pan-gon tampil dengan beberapa muka baharu seperti Azri Ghani, Safwan Mazlan dan Nooa Laine apabila tiga pemain muda ini diturunkan dalam kesebelasan utama pasukan.
Seawal minit ke-21 permainan, Malaysia mula memberi amaran kepada pasukan lawan menerusi percubaan deras Endrick Dos Santos. Bagaimanapun percubaan pemain tengah negara itu tepat ke dakapan penjaga gol Kyrgyzstan, Erzhan Tokotaev.
Gol pembukaan perlawanan akhirnya hadir pada minit ke-24 permainan menerusi ledakan Gulzhigit Alykulov. Kealpaan barisan pertahanan Malaysia telah dimanfaatkan gandingan Joel Kojo dan Alykulov untuk gol pertama buat Kyrgyzstan.
Selepas jaringan tersebut terhasil, Malaysia dilihat kurang mendominasi permainan apabila Kyrgyzstan acap kali mengatur serangan.
Sebelum aksi di babak pertama tamat, Malaysia berjaya mendapat jaringan penyamaan menerusi jaringan sendiri oleh pemain tengah Kyrgyzstan. Sepakan percuma yang diambil Endrick telah memaksa Odilzhon membuat kesilapan apabila beliau menanduk bola masuk ke gawang sendiri.
Keputusan separuh masa pertama, Kyrgyzstan 1-1 Malaysia.
Bersambung aksi di separuh masa kedua, kedua-dua pasukan bermula dengan tiada pertukaran pemain dilakukan pengendali pasukan.
Pasukan tuan rumah dilihat lebih banyak mendominasi permainan berbanding Malaysia yang lebih banyak bertahan.
Transisi permainan Kyrgyzstan juga menjadi semakin rancak apabila ketua jurulatih, Stefan Tarkovic membuat tiga pertukaran pemain sementara Kim Pan-gon terus mengekalkan pemain di babak pertama perlawanan.
Harimau Malaya beberapa kali menerusi gerakan Akhyar Rashid dan Endrick dos Santos sedikit sebanyak memberi tekanan kepada pertahanan tuan rumah. Namun serangan itu tidak cukup untuk menggegar jaring.
Pada minit ke-81 permainan, Malaysia miliki peluang keemasan untuk menjaringkan gol kemenangan. Percubaan dari Paulo Josue itu bagaimanapun terus ke dakapan penjaga gol Kyrgyzstan.
Tujuh minit masa tambahan tidak mengubah keputusan perlawanan. Aksi di Stadium Dolen tamat, Kyrgyzstan diikat Malaysia dengan keputusan 1-1.
Selepas ini, Malaysia akan melayan kunjungan Chinese Taipei pada Selasa, 11 Jun sementara Kyrgyzstan akan menentang Oman pada Rabu, 12 Jun kelak untuk aksi terakhir peringkat Kumpulan D.
Ketika ini, Oman mengungguli kedudukan pertama dengan 12 mata, Kyrgyzstan dengan 10 mata di tempat kedua, Malaysia di kedudukan ketiga dengan 7 mata dan Chinese Taipei di kedudukan terakhir tanpa sebarang mata dalam saingan Kumpulan D, kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.