Advertisement
“Malaysia Kalahkan Arab Saudi Walaupun Tak Ada Apa-Apa” – Soleen Al-Zoubi
UltraSukan
UltraSukan
Faris/MakanBola

Pengendali skuad bola sepak wanita Malaysia, Soleen Al-Zoubi bangga dengan pencapaian anak buahnya bila berdepan pasukan Asia Barat, Arab Saudi beberapa bulan lalu.

Ini kerana bola sepak wanita Arab Saudi mendapat sokongan dari pelbagai sudut termasuk infrastruktur, pertandingan, kejurulatihan dan sokongan kewangan.

Disebabkan sokongan dari pelbagai sudut ini, ini membantu mereka untuk menjadi pasukan yang lebih mantap di rantau Asia Barat.

Ini menjadikan mereka sebagai pasukan pilihan apabila berdepan The Malayan Tigress dalam aksi penentuan tempat ketiga/keempat 2023 Women’s Friendly Tournament.

Meskipun skuad negara tidak memiliki apa-apa pada ketika itu, itu tidak menghalang Malaysia daripada menewaskan Arab Saudi 1-0.

“Saya telah pergi ke banyak negara, saya telah melihat bagaimana mereka bekerja. Saya telah melihat bakat mereka. Percayalah, mereka lebih ke hadapan daripada kita.

“Ini pendekatan holistik yang digunakan banyak negara untuk layak ke Piala Dunia. Mereka (Arab Saudi) sudah memiliki apa yang diperlukan (seperti) infrastruktur, kejurulatihan, kepakaran, penajaan dan sebagainya. Pada akhirnya, mereka akan layak ke Piala Dunia.

“Percayalah, kita (Malaysia) sudah bertemu dengan Arab Saudi beberapa bulan lalu. Mereka telah melaburkan jutaan ringgit untuk bola sepak wanita. Dan mereka mendapat jurulatih dari luar negara.

“Sementara kita muncul tanpa apa-apa, tanpa pasukan yang betul, tanpa struktur yang betul dan infrastruktur. Tapi ada satu perkara yang buatkan saya percaya kepada Malaysia.

“Kita memiliki mentaliti kita boleh melakukannya. Jika kita sudah memiliki semua perkara yang diperlukan, percayalah kita boleh melakukannya,” katanya dalam sesi Townhall Bola Sepak Wanita FAM yang diadakan di Armada Hotel, Petaling Jaya hari ini.

The Malayan Tigress ketika ini menduduki ranking ke-96 FIFA berdasarkan ranking terkini yang dikeluarkan badan induk bola sepak dunia itu.