Jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia tidak berdepan masalah mara ke suku akhir Malaysia Masters 2024.
Pemain perseorangan ke-10 dunia itu mara selepas bekerja keras menyingkirkan wakil India, Kiran George dalam aksi pusingan kedua yang berlangsung hari ini.
Meskipun kedua-dua pemain bertemu buat kali pertama, kelebihan memihak kepada Zii Jia. Dari segi ranking, beliau berada di tangga ke-10 dunia berbanding Kiran yang menduduki tangga ke-36.
Selain itu, Zii Jia tampak lebih yakin selepas menewaskan wakil China, Zhao Jun Peng dalam aksi pusingan pertama yang berlangsung semalam.
Set pertama menyaksikan pada awalnya, kedua-dua pemain bersaing mendapatkan mata. Zii Jia kemudiannya memanfaatkan pengalaman yang dimiliki untuk mendahului pada kedudukan 11-6.
Walaupun Kiran cuba mengejar, kelebihan itu terus dipertahankan bekas juara Arctic Open 2023 itu. Zii Jia menang dengan keputusan 21-13.
Kiran yang pernah bergelar juara Indonesia Masters 2023 cuba bangkit dalam set kedua. Kedua-duanya bersaing sengit mendapatkan mata sehingga terikat pada kedudukan 17-17.
Kesungguhan bekas juara All England 2021 itu memastikan set kedua menjadi miliknya. Zii Jia mara ke suku akhir selepas menang dengan keputusan 21-18.
Menanti Zii Jia di suku akhir ialah jaguh perseorangan lelaki dari Denmark dan rakan baiknya, Anders Antonsen.
Antonsen yang juga pilihan kedua kejohanan mara ke suku akhir selepas mengenepikan cabaran rakan senegara, Magnus Johannesen dalam satu lagi aksi pusingan kedua.