Malaysia memulakan kempen Kelayakan Piala Asia dengan langkah kanan apabila menepati ramalan menumbangkan Nepal pada Selasa.
Skuad Harimau Malaya turun buat kali pertama bagi tahun 2025 di bawah kendalian jurulatih baharu, Peter Cklamovski dengan misi mengutip 3 mata apabila beraksi di gelanggang sendiri.
Kesebelasan utama Malaysia menjadi tumpuan ramai apabila Hector Hevel diberi peluang melakukan penampilan pertama sementara Nepal menurunkan bekas tonggak T-Team, Rohit Chand.
Seperti dijangka, skuad negara menguasai sebahagian besar penguasaan bola hasil kombinasi tengah antara Hevel, Nooa Laine dan juga Endrick, memaksa Nepal bertahan di kawasan sendiri.
Suasana di venue menjadi gamat apabila Hector Hevel hadir dengan gol pembukaan pada minit ke-26 yang juga jaringan pertama beliau hasil rembatan jarak jauh yang mengelirukan penjaga gol lawan.
Usaha berterusan dilancarkan oleh pasukan negara menerusi percubaan Endrick Dos Santos serta Romel Morales namun gol tunggal tersebut kekal hingga kedua-dua pasukan masuk ke bilik persalinan.
Separuh masa pertama tamat, Malaysia 1-0 Nepal.
Kembali dari rehat, pintu gol Nepal bocor lagi buat kali kedua apabila Corbin Ong menyudahkan gerakan cantik yang diatur antara Arif Aiman serta Endrick sekaligus menceriakan skuad negara.
Aksi di Stadium Sultan Ibrahim berakhir dengan keputusan 2-0 memihak Malaysia.
Keputusan ini meletakkan Malaysia kini berada di kedudukan kedua kumpulan F dengan 3 mata, berkongsi mata dengan Vietnam yang membelasah Laos dalam satu lagi aksi pada Selasa.
Saingan Kelayakan Piala Asia seterusnya akan berlangsung pada Jun dengan Malaysia akan turun melayani kunjungan Vietnam manakala Nepal akan menentang Laos.