Malaysia Muncul Juara Dunia Berpasukan, Tumbangkan Thailand
UltraSukan
PSM

Malaysia mengakhiri kempen Piala Dunia Sepak Takraw dengan kejayaan bergelar juara dunia untuk acara regu berpasukan.

Perlawanan final ini dilihat peluang buat Malaysia merampas gelaran juara dunia daripada Thailand selaku juara bertahan. Thailand pula mahu membalas dendam selepas tewas kepada tuan rumah di pentas final Sukan SEA 2025 acara sama.

Perlawanan final ini mendapat sambutan hangat dalam kalangan peminat sepak takraw. SNE Sports melaporkan tiket perlawanan final ini sudah habis dijual pada petang Sabtu.

Malaysia mempertaruhkan gandingan Zulkifli Razak, Afifuddin Razali dan Aidil Aiman Zawawi sebagai regu pertama. Thailand pula mempertaruhkan gandingan Pornthep Tinbangbon, Marukin Phanmakon dan Jirasak Pakbuangoen.

Tekong Perak Bison, Kritsada Sunvung berada di bangku simpanan Thailand. Meskipun mengalami kecederaan betis, Syahir Rosdi terus memberi sokongan kepada kem negara di bangku simpanan.

Set pertama menyaksikan regu pertama Thailand bergelut mempamerkan aksi terbaik di gelanggang. Siri kesilapan yang dilakukan regu lawan membolehkan regu negara mengungguli set pertama dengan keputusan 15-9.

Set kedua menyaksikan Thailand cuba bangkit dengan harapan mengheret perlawanan ke set penentuan.Beberapa kesilapan regu negara membantu Thailand meraih kemenangan dengan keputusan 15-13.

Set ketiga menyaksikan Kritsada dibawa masuk menggantikan Pornthep selepas dua kali melakukan kesilapan servis. Pertukaran itu tidak menggugat rentak regu negara untuk meraih kemenangan dengan keputusan 15-12.

Malaysia mempertaruhkan gandingan Haziq Hairul Nizam, Farhan Adam dan Azlan Alias sebagai regu kedua. Thailand pula mempertaruhkan sentuhan Kritsanapong Nontakote, Wuttinun Kamsanor dan Tanaphon Sapyen.

Regu kedua Thailand mengungguli set pertama dengan keputusan 15-6. Regu kedua negara cuba bangkit tetapi tewas dalam set kedua dengan keputusan 15-10.

Hal ini menyaksikan regu ketiga menjadi penentu kejuaraan dunia antara kedua-dua pasukan. Amirul Zazwan mengetuai cabaran regu ketiga negara.

Pengalaman bekas tekong Perak Bison, Jakkrit Thinbangon ditagih Thailand untuk regu ketiga mereka. Selepas bersaing sengit mendapatkan mata, regu ketiga negara mengungguli set pertama dengan keputusan 15-13.

Set kedua menyaksikan kedua-dua regu terus berentap memburu mata demi mata. Perlawanan kemudiannya diselubungi kontroversi apabila regu ketiga Malaysia mendakwa kaki pemain Thailand melintasi garisan bawah jaring sebelum melibas bola.

Meskipun pengadil membuat keputusan kaki pemain lawan tidak melepasi garisan, kem Malaysia mengekalkan bantahan. Pengadil kemudiannya memutuskan mata sebelumnya dibatalkan dengan kedua-dua pasukan bermain semula.

Tindakan ini mendorong Thailand memilih untuk keluar dari gelanggang meskipun digesa kembali sebanyak tiga kali oleh pengadil.

Pada akhirnya, Malaysia diberi kemenangan oleh pengadil selepas regu ketiga Thailand tidak kembali ke gelanggang dalam tempoh yang ditetapkan. Ini memastikan gelaran juara dunia berpasukan menjadi milik kem negara.