Pemain perseorangan lelaki Denmark, Anders Antonsen muncul juara Malaysia Open 2024 sekaligus gelaran juara pertama untuk tahun 2024.
Antonsen menggondol gelaran juara selepas mengenepikan cabaran pemain nombor enam dunia dari China, Shi Yuqi.
Selepas rakan senegara beliau, Viktor Axelsen disingkirkan pemain China itu semalam, gelaran juara Malaysia Open 2024 menjadi rebutan bagi kedua-dua pemain.
Bagaimanapun, dari segi rekod pertemuan, kelebihan memihak kepada Yuqi. Ini kerana pemain nombor enam dunia itu berjaya mengatasi Antonsen sebanyak lima kali daripada tujuh pertemuan sebelumnya.
Set pertama menyaksikan juara Korea Open 2023 itu mendominasi perlawanan. Keadaan ini turut dibantu oleh siri kesilapan yang dilakukan Yuqi.
Itu sudah cukup untuk membantu Antonsen meraih kemenangan dalam set pertama dengan keputusan 21-14.
Set kedua menyaksikan Yuqi pada awalnya mendahului pada kedudukan 4-1. Bagaimanapun, Antonsen bangkit mengejar dan menyamakan kedudukan 4-4.
Jaguh Denmark itu kemudiannya melebarkan kelebihan yang dimiliki pada kedudukan 12-4. Meskipun cuba dicabar oleh Yuqi, Antonsen terus unggul sebelum menang dengan keputusan 21-13.
Kemenangan ini menyaksikan jaguh Denmark itu meraih hadiah kemenangan bernilai AS$91,000 (RM422,000).