Menjelang aksi kedua kelayakan Kumpulan D membabitkan Malaysia dan Taiwan esok, skuad negara perlu turun dengan misi menghapuskan ‘badi’ yang dibawa negara Asia Timur itu.
Ini kerana daripada tiga pertemuan terakhir Harimau Malaya dengan The Blue Wings, dua daripadanya memihak tuan rumah.
Ini termasuk kekalahan 2-0 di tangan anak-anak buah Gary White itu pada 2018. Dua gol The Blue Wings disumbang oleh Wu Chun-ching dan Chu En-le.
Kemenangan mereka disumbang oleh permainan taktikal White yang memilih corak bertahan tetapi pada masa sama, menggunakan corak serangan pantas bagi mendapatkan gol.
Ironinya, Chun-ching yang kini berusia 34 tahun mengetuai cabaran Taiwan untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Bagi skuad negara pula, beberapa pemain pastinya mahu menghapuskan memori hitam itu. Antara pemain Harimau Malaya yang beraksi dalam perlawanan itu ialah Shahrul Saad, Syahmi Safari dan Akhyar Rashid.
Selain permainan taktikal jurulatih England itu, Malaysia juga perlu berwaspada dengan kelibat pemain naturalisasi mereka, Samuel Kouame.
Ini kerana penyerang berdarah Ivory Coast itu sudah mencipta dua gol sejak membuat penampilan bersama The Blue Wings pada September lalu.
Justeru, Harimau Malaya perlu bekerja keras bukan saja untuk meraih kemenangan pada malam esok. Malah, ini juga peluang untuk menamatkan terus ‘badi’ Taiwan yang membelenggu skuad negara.