Susulan kejayaan Laos mengikat Indonesia 3-3 dalam aksi kedua Kumpulan B ASEAN Championship 2024, ada yang terlupa pasukan itu pernah menjadi mangsa Malaysia pada November lalu.
Aksi yang berlangsung di Stadium Manahan pada 12 Disember lalu menyaksikan empat gol dijaringkan pada separuh masa pertama.
Indonesia menyumbat dua gol menerusi Kadek Arel dan kapten, Muhammad Ferrari. Laos pula membalas menerusi Phousomboun Panyavong dan Phathana Phommathep.
Muhammad menyangka sudah meraih gol kemenangan buat Indonesia pada separuh masa kedua. Walau bagaimanapun, Peter Phanthavong memastikan kedua-dua pasukan berkongsi mata.
Aksi ini turut menyaksikan pemain sayap Oxford United, Marselino Ferdinan diperintah keluar padang oleh pengadil Jepun, Hiroki Kasahara.
Menariknya, pasukan yang dibimbing Ha Hyeok-jun itu tewas kepada Harimau Malaya dalam aksi persahabatan antarabangsa di Bangkok, Thailand pada 14 November lalu.
Gol awal Harith Haiqal Adam Afkar dipadamkan oleh gol Kydavone Souvanny pada separuh masa pertama.
Stuart Wilkin dan Sergio Aguero masing-masing menyempurnakan penalti menewaskan penjaga gol Laos ketika itu, Keo Oudone Souvannasangso untuk meraih kemenangan buat Harimau Malaya.
Malaysia bukan satu-satunya lawan yang dihadapi Laos pada November lalu. Pasukan itu turut mencipta kejutan dengan mengikat Thailand 1-1 pada 17 November lalu.