Advertisement
Malaysia Pertaruh Muka Baru Ganti Syihan Hazmi
Harimau Malaya
MakanBola
TFC/PFC/SFC

Pengendali skuad senior Malaysia, Pau Marti Vicente memilih tiga muka baharu untuk menggalas tanggungjawab mengawal gawang negara dalam saingan Piala Mitsubishi Electric ASEAN (PMEA) 2024.

Tiga muka baru tersebut ialah Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi (Selangor FC), Haziq Nadzli (Perak FC) dan Rahadiazli Rahalim (Terengganu FC).

Ketiga-tiganya dipilih Pau Marti untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan penjaga gol utama Harimau Malaya, Syihan Hazmi Mohamed.

Syihan tidak dapat menyertai kem Harimau Malaya untuk kempen PMEA 2024 kerana terikat dengan tugasan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) bersama Johor Darul Ta’zim (JDT).

Kalamullah bukan asing dalam kem skuad kebangsaan kerana kerap menjadi pemain sokongan untuk Syihan. PMEA 2024 dilihat peluang terbaik buat penjaga gol berusia 29 tahun itu menambah penampilan antarabangsa.

Kali terakhir Kalamullah diberi peluang mengawal gawang skuad negara ialah aksi persahabatan menentang Kemboja pada 12 September 2022. Beliau membantu Malaysia membelasah Kemboja 4-0.

Saingan Liga Malaysia (Liga M) menyaksikan Kalamullah merekodkan 13 penampilan dan lima perlawanan tanpa bolos.

Selain beliau, Rahadiazli dan Haziq juga berpeluang menambah penampilan antarabangsa masing-masing. Rahadiazli beraksi dalam saingan PMEA 2022 di mana Malaysia membelasah Laos 5-0.

Haziq pula diberi peluang beraksi sebagai penjaga gol utama Harimau Malaya pada 2018 oleh jurulatih negara ketika itu, Nelo Vingada. Beliau beraksi dalam perlawanan menentang Mongolia yang berakhir dengan keputusan seri 2-2.

Selepas berjaya merampas semula kedudukan sebagai penjaga gol utama, Rahadiazli kini beraksi sebanyak tiga kali untuk musim 2024/25 dan merekodkan dua perlawanan tanpa bolos.

Haziq pula sudah beraksi sebanyak sembilan kali untuk Perak musim ini. Beliau turut membantu The Bos Gaurus kekal tanpa bolos sebanyak tiga perlawanan.

Kredibiliti ketiga-tiga penjaga gol ini dijangka mencetuskan persaingan sihat untuk merebut slot penjaga gol utama Harimau Malaya. Malaysia bakal berdepan Kemboja untuk aksi pertama Kumpulan B PMEA 2024 pada 8 Disember ini.