Skuad Malaysia B-16 mengakhiri aksi FIFA Youth Series 2025 dengan kemenangan apabila menewaskan Guatemala ketika perlawanan penentuan tempat ke-5 pada lewat malam Rabu.
Kedua-dua negara bertemu sesama sendiri pada aksi kali ini setelah skuad muda Malaysia dan Guatemala masing-masing menamatkan aksi peringkat kumpulan A dan B di kedudukan ketiga.
Pasukan muda negara tumbang dalam dua aksi di peringkat kumpulan kepada Paraguay dan Tunisia manakala Guatemala pula akur tumpas di tangan New Zealand sebelum diikat oleh Switzerland.
Permainan berlangsung cukup sengit ketika mana kedua-dua negara berusaha bagi merancang serangan namun usaha itu digagalkan oleh ketumpulan barisan serangan Malaysia serta Guatemala.
Tiada jaringan dapat dicipta oleh Guatemala mahupun skuad negara yang dibimbing oleh Javier Jorda Ribera di sepanjang permainan meskipun ada beberapa peluang keemasan yang dimiliki.
Ketika di penghujung aksi, Iman Hapis muncul wira Malaysia B-16 dengan gol kemenangan hasil rembatan dari luar kotak penalti untuk menembusi pintu gawang Guatemala buat kali pertama.
Aksi tamat, Guatemala 0-1 Malaysia.
Keputusan ini mengesahkan tempat pasukan Malaysia B-16 selaku pasukan di tangga ke-5 FIFA Youth Series bagi edisi 2025 ini sementara Guatemala terpaksa akur di kedudukan ke-6.
Aksi final FIFA Youth Series bakal menemukan New Zealand vs Paraguay pada Khamis sementara Tunisia vs Switzerland akan beradu di perlawanan penentuan tempat ke-3.