Advertisement
Malaysia Sedia Hadapi Cabaran Indonesia
Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Pengendali Malaysia Bawah 19 Tahun (B-19), Juan Torres Garrido melihat anak buahnya bersedia menghadapi cabaran negara serumpun, Indonesia.

Malaysia layak ke separuh akhir selaku juara Kumpulan C Kejuaraan ASEAN B-19 2024. Kejayaan ini dicapai meskipun skuad negara diikat 1-1 oleh Thailand dalam aksi terakhir kumpulan pada 25 Julai lalu.

Ini disebabkan Harimau Muda telah merekodkan kelebihan jaringan yang besar dalam dua aksi kumpulan sebelumnya. Malaysia merekodkan 17 gol dan hanya dibolosi sekali di peringkat kumpulan.

Selain kekal tanpa kalah di peringkat kumpulan, penyerang muda Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), G. Pavithran muncul penjaring terbanyak dengan empat gol.

Meskipun kelebihan tampak memihak kepada skuad negara selaku juara bertahan, Garrido enggan memandang rendah cabaran Indonesia.

Ini kerana Garuda Muda yang dibimbing Indra Sjafri memiliki ramai pemain berkualiti yang mampu mengancam aspirasi skuad negara untuk mara ke final.

“Saya akan mengawasi mana-mana pemain pun kerana saya fikir mereka (Indonesia) memiliki skuad yang sangat bagus dan persiapan yang baik. Lawan yang sangat bagus,” katanya seperti yang dilaporkan CNN Indonesia.

Garrido turut mengakui Indonesia memiliki sedikit kelebihan iaitu rehat lebih sehari berbanding skuad negara menjelang aksi separuh akhir Kejuaraan ASEAN B-19 2024.

Pada masa sama, beliau melihat itu sebagai asam garam kejohanan dan percaya skuad negara mampu merealisasikan aspirasi ke final.

“Sejujurnya, itu (satu) kerugian besar (rehat satu hari) buat kita. Kerana mereka (Indonesia) mempunyai rehat tambahan 24 jam daripada kami. Satu keuntungan besar bagi mereka. Tetapi ini adalah kejohanan (antarabangsa), kami harus menyesuaikan keadaan,” tambahnya.

Malaysia dan Indonesia bakal berentap di peringkat separuh akhir di Stadium Gelora Bung Tomo, Surabaya. Pemenang bakal bertemu sama ada Australia atau Thailand di pentas final.