Malaysia menamatkan kempen Piala AFF B-16 pada peringkat kumpulan selepas tunduk di tangan Thailand 3-1.
Skuad muda negara dalam misi untuk menebus kehampaan apabila tewas 0-2 di tangan Australia sekaligus menutup harapan ke separuh akhir.
Usaha tersebut membuahkan hasil apabila anak didik Javier Ribera memperoleh gol awal menerusi ledakan penyerang muda, Izzuddin Afif pada minit ke-4.
Dereta peluang disia-siakan oleh jentera serangan negara dengan percubaan Awal Wafiy pada minit ke-42 ketika situasi satu lawan satu tersasar jauh.
Aksi babak pertama tamat dengan keputusan 1-0.
Bersambung babak kedua, Malaysia B-16 melakukan beberapa pertukaran penting untuk terus menekan Thailand.
Perjuangan skuad bimbingan Javier Ribera terencat apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain di atas padang susulan layangan kad merah.
Thailand berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti oleh Jompon pada minit ke-74 sebelum Swakorn meledak dua minit kemudian untuk mendahului 2-1.
Penalti kedua untuk Thailand diberikan oleh pemain Malaysia hasil terjahan keras dalam kotak penalti yang disempurnakan oleh Poramet pada minit ke-88.
Tambahan masa 6 minit tidak mengubah keputusan perlawanan yang kekal hingga wisel penamat dibunyikan.
Malaysia berada di tangga ketiga Kumpulan C dengan 3 mata manakala Thailand di tangga kedua dengan 6 mata daripada 3 aksi.