Malaysia terpaksa akur terlepas peluang layak ke Piala Asia Wanita 2026 selepas tumbang di tangan Korea Utara pada Sabtu.
Perlawanan ini menjadi aksi hidup dan mati untuk Malayan Tigress apabila cuma kemenangan ke atas Korea Utara ini sahaja mampu membawa Malaysia ke Piala Asia Wanita di Australia 2026.
Barisan terbaik jadi taruhan pasukan wanita Malaysia dengan Steffi Sarge Kaur kekal memakai lilitan kapten, Intan Sarah di jentera serangan manakala Azurin Mazlan mengawal gawang negara.
Sejak awal permainan, skuad wanita Malaysia tampil begitu berdisiplin dalam menyerap asakan tanpa henti oleh Korea Utara bagi memastikan gawang pasukan negara terus kebal.
Usaha berterusan Korea Utara akhirnya membuahkan hasil apabila Kim Hye Yong menanduk masuk menembusi jaring gol Malaysia bagi jaringan pertama skuad kendalian Ri Song Ho.
Sebelum rehat, Myong Yu Jong menambah kelebihan untuk pasukan Korea Utara dengan jaringan kedua hasil satu lagi tandukan yang berjaya menewaskan pertahanan dan Azurin Mazan.
Separuh masa pertama tamat, Korea Utara 2-0 Malaysia.
Kembali dari rehat, gawang pasukan negara bocor buat kali ke-3 hasil tandukan bebas oleh Kim Kyong Yong yang telah meletakkan Korea Utara terus selesa mendahului pada minit ke-52.
Kim Kyong Yong sekali lagi mencetak nama selaku penjaring selang 3 minit selepas itu apabila dengan mudah menanduk masuk tendangan sudut rakan sepasukan tanpa dikawal oleh pemain Malaysia.
Jaringan ke-5 Korea Utara hadir di minit ke-78 dengan Kim Kyong Yong melengkapkan hatrik selepas melepaskan satu percubaan di dalam kotak penalti yang menewaskan Azurin Mazlan.
Korea Utara memastikan kemenangan menjadi milik mereka apabila Ri Hye Gyong meledak gol ke-6 pasukan itu hasil situasi kelam-kabut di dalam gawang Malayan Tigress pada minit akhir.
Aksi di Stadium Central berakhir dengan keputusan 6-0 memihak Korea Utara.
Kekalahan ini menyaksikan Korea Utara muncul sebagai juara kumpulan sekaligus memastikan tiket ke Piala Asia Wanita ini menjadi milik pasukan di ranking ke-9 dunia tersebut.