Aksi kedua Kumpulan A ASEAN Championship 2024 bakal menemukan Malaysia dan Timor Leste.
Aksi antara Harimau Malaya dengan Lafaek bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 11 Disember ini.
Sejak kali pertama bertemu pada 2004, Malaysia memiliki rekod kemenangan 100% dalam tujuh pertemuan ke atas pasukan yang dibimbing jurulatih Chile, Simon Elissetche itu.
Ini termasuk kemenangan 5-1 yang direkodkan aksi kelayakan Piala Dunia 2022 pada 11 Jun 2019. Hatrik Shahrel Fikri Md. Fauzi, Akhyar Rashid dan Mohamadou Sumareh memastikan kemenangan milik Harimau Malaya.
Timor Leste pernah mengikat Harimau Malaya 1-1 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018 pada 11 Jun 2015. Gol awal Safee Sali dibatalkan bek tengah berdarah Brazil, Ramon Saro.
Walau bagaimanapun, keputusan tersebut kemudiannya dibatalkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) atas alasan Lafaek mengemukakan dokumen palsu untuk pemain mereka. Malaysia diberi kemenangan 3-0 oleh AFC.
Prestasi semasa menyaksikan Malaysia memiliki sedikit kelebihan dengan dua kemenangan, dua keputusan seri dan satu kekalahan. Timor Leste pula merekodkan dua kemenangan, satu seri dan dua kekalahan.
Kedua-dua pasukan berharap dapat bangkit daripada kekecewaan aksi pertama Kumpulan A ASEAN Championship 2024. Malaysia nyaris dikejutkan Kemboja sebelum meraih keputusan seri 2-2.
Timor Leste pula menjadi mangsa belasahan Thailand dengan merekodkan kekalahan 10-0. Kekalahan ini merupakan kekalahan terbesar mereka sejak tewas 6-2 kepada Brunei dalam aksi kelayakan ASEAN Championship 2022.
Kedudukan ranking Harimau Malaya dan Lafaek ibarat langit dengan bumi. Malaysia kini menduduki ranking ke-132 dunia dengan Timor Leste menduduki ranking ke-196 dunia.
Tumpuan terarah kepada pertemuan ini susulan kedua-dua pasukan tidak mencatatkan kemenangan pada aksi pembukaan.