Wakil Liga A1 Semi Pro, Malaysian University FT (MUFT) berterima kasih kepada Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) kerana membenarkan mereka menggunakan Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Selepas meraih kemenangan mengejut ke atas PDRM FC pada 12 Jun lalu, Malaysian University menjadi satu-satunya wakil Liga A1 Semi Pro dalam saingan suku akhir Piala FA 2024.
Walau bagaimanapun, pasukan itu bergelut mencari stadium yang sesuai dijadikan sebagai venue tuan rumah untuk aksi suku akhir pertama Piala FA.
Keadaan ini mendorong Malaysian University membuat permohonan kepada lawan mereka di peringkat suku akhir, JDT untuk menjadikan SSI sebagai venue tuan rumah.
Perkara ini dinyatakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam pada 26 Jun lalu. Perkara ini turut disahkan oleh pengurus pasukan, Mohd Farid Dewan.
“Kita ada berbincang dengan pihak pengurusan JDT selepas pusingan 16 hari itu dan pada mulanya memang kita memohon untuk bermain di Stadium Sultan Ibrahim sebab kita tiada stadium di sini.
“Kita adalah pasukan amatur jadi venue kita kebanyakannya di universiti. Jadi kita memang tiada venue yang sesuai dan kita memohon serta hantar surat kepada JDT supaya mereka dapat bantu untuk kita bermain di SSI,” katanya.
Permohonan pasukan itu telah mendapat lampu hijau daripada pengurusan Harimau Selatan – satu berita gembira buat Malaysian University. Malah, JDT juga bersedia membantu pasukan itu termasuk dari segi tenaga kerja dan keselamatan untuk aksi suku akhir pertama Piala FA.
“Alhamdulillah surat yang kita hantar telah dibalas oleh JDT dan mereka berlapang dada untuk bagi kita guna stadium mereka secara percuma dan ada juga beberapa benda lain yang JDT sanggup untuk tolong kita termasuklah dari segi tenaga kerja dan juga kos keselamatan.
“Jadi JDT memang nak tolong kita dan kalau tanpa mereka, kita di pihak Malaysian University pun susah juga sebenarnya,” ujar Farid lagi.
Malaysian University dan JDT bakal berentap pada 29 Jun ini untuk aksi suku akhir pertama. Ini disusuli aksi suku akhir kedua pada 5 Julai ini.