Juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2023/24, Man City dikenakan denda sebanyak £2 juta (RM11 juta).
Sky Sports melaporkan tindakan tersebut dibuat EPL selepas mendapati The Citizens lewat memulakan perlawanan atau separuh masa kedua sebanyak 22 kali sepanjang dua musim lalu.
Lapan kesalahan itu dilakukan pada musim 2022/23. Sementara 14 kesalahan lagi dikesan pada musim 2023/24 termasuk permulaan perlawanan terakhir mereka menentang West Ham United pada 19 Mei lalu.
Kesalahan ini dipandang serius EPL kerana ini secara tidak langsung menjejaskan kelancaran siaran langsung perlawanan membabitkan liga itu.
City mula melewatkan permainan pada separuh masa kedua perlawanan menentang Crystal Palace pada Ogos 2022. Susulan itu, EPL memberi amaran kepada The Citizens tentang kesalahan berkenaan.
City kemudiannya didenda sekitar £10,000 (RM58,000) hingga £200,000 (RM1.1 juta) bagi kesalahan yang dilakukan selepas itu.
Perlawanan menentang West Ham menyaksikan mereka lewat dua minit dan 46 saat – perlawanan sama di mana mereka menjulang trofi EPL buat kali keempat berturut-turut.
The Citizens telah memohon maaf atas kesalahan berkenaan dan bersetuju membayar denda sebanyak £2 juta (RM11 juta). Kelab itu turut memaklumkan mereka telah mengingatkan pemain dan staf kejurulatihan tentang tanggungjawab mereka.