Prestasi dua kelab Manchester, Manchester United dan Man City dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini cukup mengejutkan.
Ini berdasarkan carta prestasi dalam sembilan perlawanan awal dan sembilan perlawanan terakhir EPL yang dilalui kedua-dua pasukan itu.
Sembilan aksi pertama liga menyaksikan City pada awalnya dominan di persada liga dengan 23 mata. Dominasi mereka dibantu ramai pemain tonggak menampilkan prestasi cemerlang di atas padang.
Walau bagaimanapun, segalanya berubah apabila Rodri mengalami kecederaan ligamen anterior krusiat (ACL) semasa aksi menentang Arsenal pada 22 September lalu.
Ketiadaan pemain tengah Sepanyol itu mula memberi kesan kepada keseimbangan kesebelasan utama Pep Guardiola.
Situasi ini tidak dibantu dengan kemerosotan prestasi ramai tonggak seperti Erling Haaland, Phil Foden, Jack Grealish dan Ederson.
Usia mengakibatkan tonggak seperti Kyle Walker dan Ilkay Gundogan sukar memberi sumbangan bermakna kepada City di atas padang.
Ini menjelaskan mengapa The Citizens hanya meraih satu kemenangan daripada sembilan perlawanan terakhir EPL. Berdasarkan carta prestasi semasa, City sudah berada di tangga ke-18.
United pula terus dibelenggu prestasi buruk sejak dari awal musim 2024/25. Sembilan aksi awal liga menyaksikan mereka hanya mengutip 11 mata sahaja.
Situasi ini juga menyebabkan pengurusan The Red Devils memilih memecat pengurus sebelumnya, Erik ten Hag.
Meskipun prestasi United berjaya distabilkan oleh pengendali interim, Ruud van Nistelrooy, magis pengendali baharu, Ruben Amorim belum mampu membawa pasukan itu ke kedudukan 10 teratas liga.
Ini dapat dilihat apabila United hanya memenangi dua daripada tujuh perlawanan sejak Amorim mengambil alih pada November lalu.
Justeru, Guardiola dan Amorim melihat tetingkap perpindahan Januari 2025 sebagai peluang untuk menambah baik pasukan sebelum mengharungi separuh kedua liga.