Juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2023/24, Man City meraih laba melebihi £67 juta (RM382 juta) bila bersetuju menjual penyerang Argentina, Julian Alvarez.
Sejak menyertai kelab itu dari River Plate pada 2022 dengan yuran perpindahan £14 juta (RM79 juta), penyerang berusia 24 tahun itu membuktikan dirinya sebagai peledak berbisa City.
Meskipun dibayangi Erling Haaland selaku penyerang utama pasukan, Alvarez berjaya meledakkan 36 gol dalam 103 penampilan bersama The Citizens.
Tempoh dua musim bersama kelab itu menyaksikan beliau meraih kejuaraan EPL sebanyak dua kali, The FA Cup, Carabao Cup, Liga Juara-Juara UEFA (UCL), Piala Super UEFA dan Kejohanan Kelab Dunia FIFA.
Kini, Alvarez membuka lembaran baru dalam karier bola sepaknya apabila menerima tawaran daripada kelab gergasi La Liga, Atletico Madrid. Ini selepas The Citizens bersetuju menjual penyerang Argentina itu kepada Los Rojiblancos dengan yuran perpindahan £81 juta (RM462 juta).
Perkara ini didedahkan oleh wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano. Alvarez turut bersetuju memeterai kontrak selama lima tahun untuk beraksi di Stadium Metropolitano.
Penyerang Argentina itu bakal disertai seorang lagi bintang EPL di Metropolitano iaitu Conor Gallagher. Seperti Alvarez, pemain tengah Chelsea itu turut bersetuju memeterai kontrak selama lima tahun dengan Los Rojiblancos.
Gallagher berpindah ke Atletico dengan yuran perpindahan £33 juta (RM188 juta). Pemain berusia 24 tahun itu bakal mengikut jejak pemain pertahanan England dan Newcastle, Kieran Trippier.
Trippier beraksi di Metropolitano dari 2019 hingga 2022 sebelum menerima tawaran The Magpies pada tetingkap perpindahan musim sejuk 2022.
Perpindahan Alvarez dan Gallagher dijangka mendorong Atletico menjual Samu Omorodion untuk menyeimbangkan kembali kewangan mereka. Omorodion menjadi sasaran Chelsea dengan kelab itu dilaporkan bersedia membayar yuran perpindahan sebanyak £35 juta (RM199 juta).