Kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Man United semakin hampir mendapatkan bek tengah muda Lille, Leny Yoro dengan yuran perpindahan £50 juta (RM303 juta).
Susulan kempen buruk musim 2023/24 yang menyaksikan United menduduki tempat kelapan, The Red Devils mahu mengubah situasi itu untuk kempen 2024/25.
Pengurus Belanda, Erik ten Hag melihat bahagian pertahanan sebagai bahagian yang perlu dimantapkan. Ini kerana musim 2023/24 menyaksikan United dibolosi 58 kali dan hanya menjaringkan 57 gol.
Keadaan ini mendorong The Red Devils memburu beberapa orang bek tengah terutama selepas ketibaan Dan Ashworth sebagai pengarah sukan baru kelab.
Antara nama yang menjadi tumpuan ialah Yoro, 18. Nama bek tengah muda Perancis itu menjadi pilihan selepas membantu Lille menduduki tangga keempat Ligue 1 musim lepas.
Meskipun begitu, wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano mendedahkan Yoro turut berada dalam radar kelab gergasi La Liga, Real Madrid. Keadaan ini mendorong United membuat bidaan berjumlah £50 juta (RM303 juta) untuk mendapatkan bek tengah muda itu.
Yoro kini menjalani ujian perubatan sekaligus selangkah untuk melengkapkan perpindahan ke Old Trafford.
Sekiranya perpindahan ini dimuktamadkan, beliau menjadi pemain kedua menyertai United selepas penyerang Belanda, Joshua Zirkzee. Zirkzee menyertai The Red Devils dari Bologna dengan yuran perpindahan £35.7 juta (RM216 juta).
United perlu menjual beberapa pemain sekiranya ingin berbelanja besar dalam tetingkap perpindahan musim panas 2024. Kelab itu dilaporkan semakin hampir memuktamadkan penjualan Mason Greenwood kepada Marseille dengan yuran perpindahan £30 juta (RM182 juta).