Kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Man United terus berdepan kesukaran menjelang aksi liga seterusnya pada 19 Oktober ini.
Ini selepas pemain pertahanan Maghribi, Noussair Mazraoui terpaksa berehat kerana mengalami masalah palpitasi pada bahagian jantung.
Sebelum ini, bekas bek kanan Bayern Munich itu mengadu merasa kurang sihat semasa aksi EPL menentang Aston Villa pada 6 Oktober lalu.
Lantaran itu, pengurus United, Erik ten Hag mengeluarkannya semasa rehat dan memasukkan pemain pertahanan Sweden, Victor Lindelof. Situasi ini juga mendorong Mazraoui untuk menarik diri daripada kem skuad kebangsaan Maghribi.
Kini, akhbar Daily Mail melaporkan pemain pertahanan berusia 26 tahun itu sudah menjalani prosedur perubatan untuk masalah berkenaan. Dan United menjangkakan Mazraoui bakal kembali menyertai pasukan dalam beberapa minggu lagi.
Bekas bek kanan Ajax Amsterdam itu menjadi pemain United terbaru yang terpaksa disisihkan akibat masalah kecederaan. Terdahulu, The Red Devils terpaksa melupakan khidmat Harry Maguire dan Alejandro Garnacho.
Maguire terpaksa berehat selama beberapa minggu akibat kecederaan. Manakala Garnacho terpaksa menarik diri daripada kem skuad kebangsaan Argentina kerana kecederaan buku lali.
Walau bagaimanapun, Ten Hag boleh menghela nafas lega kerana Tyrell Malacia dan Leny Yoro dijangka akan kembali menyertai pasukan tidak lama lagi. Yoro sebelum ini terpaksa berehat selama tiga bulan kerana kecederaan metatarsal.
Manakala Malacia pula dilaporkan sudah kembali berlatih sejak dua minggu lalu. Bekas bek kiri Feyenoord itu dilihat sudah bersedia selepas terlepas aksi bola sepak selama 502 hari.