Pengurus Man United, Erik ten Hag menyifatkan pasukan itu perlu bersatu jika ingin kembali menjadi pasukan yang digeruni.
Sejak ten Hag menggalas peranan sebagai pengurus pada musim 2022/23, beliau berdepan pelbagai tekanan untuk mengembalikan semula kegemilangan The Red Devils.
Meskipun membantu United bergelar juara Carabao Cup (2022/23) dan The Emirates FA Cup (2023/24), ten Hag dikritik disebabkan rekod buruk yang dicipta semasa eranya. Ini termasuk menamatkan musim di tempat kelapan – kedudukan terbaru pasukan itu dalam sejarah liga.
Tekanan ini dilihat semakin kuat lebih-lebih lagi dengan pengenalan struktur pengurusan baru yang dibawa pemegang saham minoriti, Sir Jim Ratcliffe.
Struktur pengurusan baru menyaksikan Omar Berrada menggalas peranan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO). Manakala Dan Ashworth dan Jason Wilcox pula masing-masing memegang peranan pengarah sukan dan pengarah teknikal.
Ini tidak dibantu dengan permulaan buruk United untuk kempen musim 2024/25. Ini termasuk kekalahan 3-0 di tangan Liverpool.
Ten Hag mengakui dalam bola sepak, normal bagi mana-mana jurulatih untuk menerima tekanan untuk mendapatkan kemenangan dan mendapatkan trofi.
Pada masa sama, beliau melihat jika United ingin berjaya, maka semua pihak dalam kelab termasuk pengurusan baharu perlu bersatu dan memiliki matlamat sama.
“Dalam bola sepak anda perlu menang, anda perlu berjaya, itu jelas. Ianya bagus untuk kepimpinan baharu mengakuinya dan mengatakannya. Kita bekerjasama untuk menjadi lebih berjaya dan kita mempunyai sasaran lebih tinggi daripada apa yang kita capai.
“Tempoh peralihan? Ini bukan hanya terpakai kepada saya. Tiada siapa boleh nafikan dalam tempoh lapan atau sembilan bulan, banyak perkara berlaku kepada kelab ini.
“Ada pasukan kepimpinan baru, struktur baru dan struktur pemilikan, satu pasukan kepimpinan baru,” katanya seperti yang dilaporkan wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano.
United kini fokus untuk aksi terbaru liga menentang Southampton di Stadium St. Mary pada 14 September.