Man United Tawarkan Gaji 7 Kali Ganda Buat Takefusa Kubo
MakanBola
Real Sociedad
Sponsors

Ketumpulan serangan Man United terutama di bahagian sayap bakal jadi fokus Erik ten Hag dalam tetingkap perpindahan Januari.

Ini disebabkan pemain-pemain sayap seperti Antony dan Alejandro Garnacho gagal mencipta peluang buat penyerang utama mereka dari Denmark, Kasper Hojlund.

Ad

Ini turut disokong statistik yang disediakan rancangan Match of the Day terbitan BBC. Mengikut statistik, Antony dan Garnacho masing-masing hanya mencipta enam dan lima peluang buat penyerang berusia 20 tahun itu setakat ini.

Ad

Atas sebab itu, akhbar Daily Express melaporkan The Red Devils kini mengintai khidmat pemain sayap Real Sociedad dari Jepun, Takefusa Kubo.

Sejak menyertai Sociedad pada musim panas 2022, Kubo telah merekodkan 68 penampilan, 15 gol dan 13 bantuan gol mengikut data Transfermarkt.

Ad

Pemain sayap berusia 22 tahun itu semakin mendapat tempat dalam skuad kebangsaan Jepun. Beliau telah merekodkan 29 penampilan dan tiga gol sejak membuat debut pada 2019.

Ad

United dilaporkan bukan saja bersedia membayar klausa yuran perpindahan beliau bernilai £52 juta (RM305 juta) kepada La Real.

Malah, mereka juga sanggup menawarkan gaji tujuh kali ganda daripada apa yang diterima Kubo di San Sebastian.

Walau bagaimanapun, United berdepan kesukaran merealisasikan perpindahan pemain sayap Jepun itu pada bulan hadapan.

Ini kerana Kubo masih memiliki kontrak dengan Sociedad sehingga 2027. Selain itu, kelab Basque itu mahukan klausa tersebut dibayar penuh dan tidak akan menerima sebarang usaha merundingkan yuran perpindahan yang lebih rendah.

United juga terpaksa berhemah dari segi perbelanjaan pada Januari ini kerana tidak mahu melanggar Peraturan Fair Play Liga Perdana Inggeris (EPL).

Satu pilihan The Red Devils ialah menawarkan Antony atau Jadon Sancho kepada Sociedad secara pinjaman seandainya mereka hendak mendapatkan Kubo.

Sejak berpindah ke Old Trafford pada musim lepas, pemain sayap Brazil itu hanya menjaringkan lapan gol dan mencipta tiga bantuan gol.

Bagi Sancho pula, ini peluang untuk membina semula kariernya di luar United selepas bertelagah dengan Ten Hag dan kerap disisihkan musim ini.