Dunia
Manchester United
Advertisements

Susulan kontroversi temubual Cristiano Ronaldo dengan pengacara Piers Morgan beberapa hari lepas, Man Utd telah membuka satu siasatan khas terhadap bintang veteran Portugal itu.

Dalam dua bahagian temubual tersebut, pelbagai dakwaan ditimbulkan bekas penyerang Real Madrid itu. Ini termasuk menuduh pemain muda Red Devils tiada kesungguhan, mengecam pengurus Erik ten Hag dan melabel pemilik United keluarga Glazers langsung tak kisah dengan perkembangan kelab.

Semua tuduhan yang dilemparkan Ronaldo telah menimbulkan kemarahan bukan saja para pemain dan penyokong United. Malah, legenda-legenda Red Devils yang pernah beraksi bersama beliau seperti Rio Ferdinand dan Gary Neville melabel temubual kontroversi tersebut sebagai melampau.

Advertisements

Dan hari ini, Man Utd telah mengeluarkan satu kenyataan berikut, “Pada pagi ini (petang waktu Malaysia), Manchester United telah mengambil langkah-langkah bersesuaian (siasatan) sebagai reaksi terhadap temubual terbaru Cristiano Ronaldo. Kelab tidak akan mengeluarkan apa-apa komen sehingga proses ini selesai.”

Antara tindakan pertama yang dilaksanakan selepas kenyataan kelab dibuat ialah melarang Ronaldo kembali ke pusat latihan United di Carrington selepas Piala Dunia. Ini berdasarkan ciapan wartawan bola sepak terkenal Fabrizio Romano di Twitter.

Dalam ciapannya, beliau berkata, “Memang benar Manchester United bersedia mengarahkan Cristiano Ronaldo agar tidak kembali ke Carrington selepas Piala Dunia, itu rancangannya buat masa ini. Ini merupakan tindakan pertama selepas temubual tersebut – lebih banyak tindakan akan menyusul pada hari-hari berikutnya.”

Advertisements

Walaupun kelab menegaskan tiada kenyataan baru dikeluarkan sehingga siasatan selesai, ramai percaya ia hanya formaliti untuk proses pemecatan Ronaldo daripada kelab berkenaan. Ini disebabkan wujud khabar angin kelab telah mendapat nasihat perundangan tentang semua pilihan mereka termasuk pemecatan bekas graduan Sporting Lisbon itu.

Sekiranya Ronaldo dipecat daripada Red Devils, beliau sebenarnya mengulangi kontroversi seorang lagi legenda United iaitu Roy Keane. Sebelum meninggalkan kelab secara persetujuan bersama pada November 2005, hubungan beliau dengan pengurusan United termasuk Sir Alex Ferguson sudah bermasalah selama beberapa bulan.

Roy Keane Manchester United Man Utd Buka Siasatan Khas Kes Ronaldo
Roy Keane. Gambar: Manchester United

Keane bukan saja dilaporkan bertelagah dengan Ferguson dan pembantu beliau ketika itu, Carlos Queiroz. Malah, bekas pemain Nottingham Forest itu mendedahkan bakal meninggalkan United pada akhir musim berkenaan tanpa memberitahu pengurus legenda tersebut.

Advertisements

Tetapi kemuncak konflik Keane dengan United ialah apabila legenda Ireland itu mengkritik secara terbuka pemain-pemain selepas tewas mengejut 4-1 di tangan Middlesbrough. Dalam temubual bersama MUTV sekitar November 2005, Keane mengecam John O’Shea, Alan Smith, Kieran Richardson dan Darren Fletcher sebagai punca kekalahan Red Devils.

Kritikan terbuka itu akhirnya membuatkan Ferguson hilang sabar dan memutuskan bekas pemain Celtic itu perlu disingkirkan daripada kelab. Ini berdasarkan nilai yang dipegangnya sebagai pengurus yang berbunyi, “Tiada pemain yang lebih besar daripada kelab.”

Susulan itu, kontrak Keane dibatalkan secara persetujuan bersama bagi membolehkan beliau mencari kelab baru dengan segera. Keane kemudiannya menyertai Celtic pada Disember 2005 sebelum menggantung but pada Jun 2006.

Advertisements

Andainya United memutuskan untuk memecat Ronaldo, beliau bukan saja bakal berdepan kehilangan gaji sebanyak £500,000 (RM2.72 juta) seminggu. Malah, Red Devils juga ada hak untuk tidak membayar pampasan kepada beliau mengikut undang-undang pekerjaan UK dan peraturan FIFA.

Peguam sukan terkenal David Seligman dalam ciapannya di Twitter sebelum ia dipadamkan berkata, “Selepas temubual tersebut, Man Utd akan mempunyai sebab kukuh untuk menamatkan kontrak Ronaldo – pelanggaran kepercayaan dan keyakinan majikan serta mengeluarkan kenyataan yang merosakkan imej kelab.”

Sementara peraturan FIFA berkenaan situas ini berbunyi, “Sesebuah kontrak boleh saja ditamatkan tanpa sebarang kesan (sama ada pampasan atau dikenakan sekatan) sekiranya penamatan dibuat atas sebab yang kukuh.”

Temubual kontroversi ini dijangka turut memberi kesan kepada bayaran yang diterima ejen Ronaldo, Jorge Mendes daripada United. Ini kerana menurut Seligman, ejen-ejen pemain akan dibayar kelab sebagai cara mengekalkan hubungan baik mereka dengan kelab termasuk dari segi perpindahan pemain.

Cristiano Ronaldo dan Jorge Mendes. Gambar: Fabrizio Romano.

Untuk musim lepas saja, kelab-kelab EPL telah membayar ejen-ejen sebanyak £272.6 juta (RM1.47 bilion). Daripada jumlah tersebut, Red Devils telah membayar sejumlah £29,036,141 (RM157.5 juta) kepada ejen-ejen pemain termasuk Mendes.

Tambah Seligman lagi, “#MUFC boleh saja menahan semua bayaran kepada ejen. Ejen-ejen pemain dibayar untuk ‘perkhidmatan selanjutnya’ bagi menjaga hubungan yang stabil antara pemain dengan kelab….tetapi ia bertentangan dengan matlamat temubual tersebut diadakan.”

Seligman turut melihat sekiranya pemecatan tetap diteruskan, ia bakal mengundang masalah kepada United dari segi pendaftaran pemain. Ini kerana peraturan FIFA menetapkan pemain yang ditamatkan kontrak akan terus berdaftar dengan kelab mereka untuk tempoh 30 bulan. Tempoh tersebut berkuatkuasa dari tarikh penampilan terakhir pemain dengan kelab mereka.

Tambahnya lagi, “Peraturan/bidang kuasa #FIFA berkenaan pendaftaran pemain tidak semudah seperti disangka. #MUFC boleh menamatkan kontrak tetapi mengekalkan pendaftaran untuk tujuan pampasan, sekiranya penamatan dibuat atas tindakan #Ronaldo. Isu perundangan yang dihadapi Ronaldo amat rumit.”

Walau apapun keputusan United berkenaan Ronaldo, yang pasti para pemain sudah bersedia untuk terus beraksi tanpa kelibat legenda Portugal itu. Salah seorang daripadanya ialah bek tengah Perancis, Raphael Varane.

Dalam temubualnya bersama stesen radio Perancis, Europe1, beliau berkata, “Apa yang saya mahu biarlah yang terbaik untuk pasukan, justeru, apa saja keputusan yang dibuat, sebagai pemain, kami akan terima dan berusaha memberi yang terbaik kepada pasukan.”

Sekiranya pemecatan dibuat, Ronaldo mempunyai masa sehingga musim perpindahan Januari 2023 untuk mencari kelab baru. Tetapi dengan pelbagai kontroversi yang membelenggunya di Juventus dan terbaru, United serta tuntutan gaji yang tinggi, hanya beberapa kelab yang boleh membiayainya seperti PSG dan Chelsea.

Menerusi temubualnya bersama Morgan, Ronaldo mengakui teringin beraksi bersama Lionel Messi di PSG. Ini selepas pengacara kontroversi British itu bertanya sekiranya legenda Portugal itu mahu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Kylian Mbappe sekiranya penyerang Perancis itu berpindah.

Beliau menjawab, “Tiada yang mustahil dalam dunia bola sepak. Kenapa tidak? Sudah pasti. Mereka (PSG) akan menjual banyak jersi.” Tetapi PSG dikhabarkan tidak berminat membawa bekas penyerang Real Madrid itu ke Paris menjelang musim perpindahan Januari.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram