Awal pagi tadi, Manchester City kecewa apabila diikat 1-1 dengan kelab Bundesliga, RB Leipzig dalam perlawanan pusingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara Eropah (UCL). Dan itu mendorong Pep Guardiola secara bergurau mahu menurunkan sembilan penyerang dalam perlawanan timbal balik.
Walaupun menurunkan penyerang berbisa di Eropah, Erling Haaland, City seolah-olah buntu menembusi gawang lawan yang dikawal Janis Blaswich. Sebaliknya, Riyad Mahrez yang meletakkan Citizens di depan pada minit ke-27.
Tatkala City menyangka mereka bakal meraikan kemenangan tipis di Red Bull Arena, bek tengah Croatia Josko Gvardiol menanduk masuk gol pada minit ke-70. Ketumpulan barisan serangan anak-anak buahnya membuatkan Guardiola mahu ia ditebus apabila mereka bermain di Stadium Etihad untuk perlawanan timbal balik.
“Saya tidak mahu datang ke sini dan tewas 4-3. Ia perlu lebih terbuka di Manchester. Kami tidak cukup lengkap untuk bersaing dengan mereka dengan banyak pilihan, mereka lebih baik daripada kami dan mereka lebih pantas daripada kami, kecuali Kyle (Walker) dan Erling (Haaland).
“Mereka mempunyai kepantasan tetapi kami tidak. Mungkin pada perlawanan kedua saya akan menjadi lebih gila dan memutuskan untuk bermain dengan sembilan penyerang.
“Tetapi saya pernah melatih di negara ini dan saya menganalisis Leipzig dan saya memerlukan kawalan sebegini,” kata bekas pengurus Bayern Munich itu.
Guardiola pastinya tidak mahu disebabkan hal ini, ia bakal menjejaskan keupayaan mereka memburu kedudukan pendahulu EPL yang dipegang Arsenal ketika ini. Dengan dua kejuaraan menjadi fokus utama, bekas pengurus Barcelona itu mahu jentera serangannya diketuai Haaland kembali mantap.