Manchester United masih berpeluang meraih trofi apabila beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 28 Mei ini.
Ini kerana aksi persahabatan antara United dan ASEAN All-Stars itu menyaksikan kedua-dua pasukan merebut trofi Maybank Challenge Cup Malaysia 2025.
Pemenang perlawanan berpeluang menjulang trofi itu selepas tamat perlawanan. Trofi ini dilihat dapat memberi sedikit keceriaan kepada United selepas terlepas semua trofi utama untuk musim 2024/25.
The Red Devils kempunan bergelar juara Liga Europa UEFA (UEL) apabila tewas 1-0 kepada Tottenham Hotspur.
United juga terlepas peluang meraih trofi Carabao Cup dan The Emirates FA Cup selepas ditunjukkan jalan keluar di peringkat suku akhir dan pusingan kelima.
United juga kini menduduki tangga ke-16 Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan baki satu perlawanan.
Sebelum berangkat ke Malaysia, The Red Devils akan menentang Aston Villa untuk aksi terakhir pada 25 Mei ini.
Selain pasukan ASEAN All-Stars, United juga akan berdepan Hong Kong untuk aksi persahabatan yang diadakan pada 30 Mei.