Manchester United sekali lagi ditimpa masalah apabila pemain sayap lincah, Antony kini terpaksa direhatkan ekoran dakwaan menggunakan keganasan terhadap teman wanitanya.
Antony bakal berehat sementara daripada aksi bola sepak untuk menangani dakwaan yang telah dibuat terhadapnya.
“Saya telah bersetuju dengan Manchester United untuk mengambil tempoh berehat sepanjang saya menangani dakwaan ini. Saya mahu membersihkan nama saya terhadap tuduhan berat ini dan saya akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak polis untuk mendapatkan kebenaran.” ujar Antony.
Sebelum ini, Antony telah digugurkan daripada skuad kebangsaan Brazil untuk dua perlawanan kelayakan Piala Dunia ekoran dakwaan yang dikenakan terhadap beliau.
Manchester United kini terpaksa melupakan khidmat Antony buat sementara waktu dan Erik Ten Hag perlu memikirkan pemain seterusnya yang layak mengisi posisi sayap kanan United.
Pilihan pemain untuk posisi sayap kanan United ketika ini ialah Jadon Sancho, Facundo Pellistri dan Amad Diallo.
Manchester United sebelum ini juga terpaksa melupakan khidmat pemain sayap kanan berbakat, Mason Greenwood selama setahun lebih setelah Greenwood dikaitkan dengan kes penderaan terhadap teman wanitanya.