Bekas pengendali Thailand, Mano Polking menafikan beliau telah menerima tawaran dari sebuah kelab Indonesia.
Penafian itu dibuat menerusi akaun X peribadi beliau semalam apabila ditanya tentang situasi terkininya dan kelab Vietnam, Cong An Ha Noi (CAHN) semalam.
Polking sebelum ini dilaporkan bakal menyertai CAHN menggantikan pengendali Korea Selatan, Gong Oh-kyun.
Langkah tersebut dibuat selepas pengurusan The Horses kurang berpuas hati dengan beberapa keputusan perlawanan kelab itu sejak Oh-kyun dilantik pada November lalu.
Bagaimanapun, perkara sebaliknya yang berlaku. The Thao 247 melaporkan CAHN kini semakin hampir mendapatkan legenda Thailand, Kiatisuk Senamuang sebagai pengganti jurulatih Korea Selatan itu, bukannya Polking.
Ini mendorong seorang pengguna X bertanya apakah perkara itu berlaku disebabkan jurulatih berdarah Jerman-Brazil itu mendapat tawaran dari Indonesia.
Khabar angin tersebut dinafikan oleh Polking. Walaupun mengakui ada mengadakan pertemuan dengan pengerusi CAHN pada Isnin lepas di Hanoi, tiada persetujuan dicapai antara kedua-dua pihak.
“Itu tak betul. Saya tidak bercakap dengan mana-mana kelab di Indonesia kerana saya sudah ada perjanjian untuk bertemu pengerusi Cong An (Ha Noi) selepas bercuti di Brazil dan itu yang saya lakukan pada Isnin lepas di Hanoi.
“Kami menikmati makan malam yang bagus dengan wain yang sedap dan mungkin akan bertemu lagi pada masa akan datang. Tapi bukan sekarang,” katanya.
Polking masih lagi berstatus ejen bebas selepas meninggalkan skuad kebangsaan Thailand pada penghujung November 2023.
Selain Thailand, jurulatih Brazil-Jerman itu pernah melatih Army United, Suphanburi, Ho Chi Minh City dan Bangkok United.