Pemain tengah Terengganu FC, Marin Pilj mengakui dirinya memiliki kepakaran dalam mencetak gol dari jarak jauh.
Rembatan dari luar kotak penalti oleh Marin Pilj ketika menentang Perak tempoh hari berjaya menghasilkan gol kedua buat Terengganu sekaligus menghadiahkan kemenangan berharga ke atas Perak.
Marin Pilj yakin percubaan jarak jauh itu mampu menghasilkan gol kerana beliau pernah beberapa kali mencetak gol jarak jauh.
Pemain berusia 27 tahun itu turut mengakui gembira dapat menjaringkan gol pertama peribadi bersama Terengganu yang menyaksikan skuad Sang Penyu bangkit menewaskan Perak untuk layak ke peringkat suku akhir Piala FA.
“Saya gembira dapat jaringkan gol pertama untuk saingan Piala FA ini tetapi yang penting adalah memenangi perlawanan dan layak ke peringkat seterusnya.
“Saya tahu saya boleh jaringkan gol kerana saya pernah beberapa kali menjaringkan gol dari luar kotak penalti. Saya tahu saya memiliki rembatan yang bagus.
“Itu peluang yang baik untuk mencuba dan saya gembira bola itu berjaya membolosi gawang gol (Perak).” ujar Marin Pilj.
Marin Pilj pernah bermain di liga Croatia untuk pasukan NK Varazdin sebelum akhirnya menyertai Terengganu pada bulan Mac lalu.
Terengganu bakal menentang pasukan Sabah untuk aksi suku akhir Piala FA 2024/2025 tetapi sebelum itu skuad kendalian Tomislav Steinbruckner akan bertemu cabaran Kuching City bagi saingan Liga Super.