Bekas penolong jurulatih pasukan Harimau Malaya, Mark Milligan menzahirkan ucapan terima kasih buat DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.
Pada Khamis, ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Peter Cklamovski memaklumkan bahawa Mark Milligan kini sudah tidak bersama pasukan negara bagi mencari peluang baharu.
Justeru, Milligan dalam satu kenyataan terbaru meluahkan rasa terima kasih kepada DYAM Tunku Ismail di atas setiap peluang yang diberikan untuk bersama pasukan Harimau Malaya.
“Saya amat berterima kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor kerana memberi saya peluang untuk bekerjasama dengan Peter Cklamovski dan seluruh kakitangan pasukan kebangsaan.”
”Diberikan peluang untuk menjadi sebahagian daripada pasukan profesional seperti ini telah banyak mengajar saya,” ujar Mark Milligan.
“Pengalaman dan tahap profesionalisme di peringkat elit ini adalah sesuatu yang saya hanya dapat harapkan dan impikan untuk mencapai dalam perjalanan saya ke hadapan.”
Malah, Milligan turut mendoakan kejayaan buat pemain serta pasukan Harimau Malaya dalam perjalanan untuk melayakkan diri ke pentas Asia dan pembangunan bakat muda di negara ini.
“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada pemain-pemain, staf, dan penyokong Malaysia dalam usaha untuk kelayakan Piala Asia 2027 dalam jangka masa terdekat,”
“Serta terus membangunkan pertumbuhan dan asas yang kukuh untuk memastikan bola sepak Malaysia terus berkembang.”
Masa hadapan Mark Milligan ketika ini masih menjadi tanda tanya namun timbul ura-ura mengatakan kelab dari Liga Australia, Newcastle Jets berminat untuk mendapatkan khidmat jurulatih muda ini.