Masa untuk Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bagi menyelesaikan masalah tunggakan gaji yang berlarutan kian suntuk.
Umum mengetahui bahawa Kedah meruapakan salah sebuah pasukan yang dibelenggu masalah tunggakan gaji hingga memaksa beberapa pemain utama mereka memilih untuk berhijrah ke kelab baharu sebelum tamat musim 2024/2025.
Dalam satu perkongsian wartawan Astro Arena, Fina Nasrom, Kedah kini hanya mempunyai masa sehingga 30 April sahaja untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain sehingga Disember 2024. Jika tidak, kelibat pasukan itu tidak lagi akan dapat dilhat pada musim hadapan.
“Tarikh akhir pembayaran gaji pemain sehingga Disember 2024 berjumlah lebih 7juta ringgit Malaysia perlu diselesaikan pengurusan Kedah sebelum atau pada 30 April ini. Itu tarikh akhir dari MFL. Jika ia tidak berlaku, status Kedah musim depan bakal terjawab,” kongsi Fina Nasrom di laman X.
Kedah kini tiada pilihan lain melainkan perlu menyelesaikan permasalahan tersebut jika mahu terus beraksi di dalam kancah Liga Malaysia.
Biarpun dibelenggu dengan masalah gaji, pujian harus diberikan kepada pemain dan staf kejurulatihan Kedah yang sentiasa memberikan yang terbaik di atas padang. Aksi terbaru mereka ialah apabila berjaya mengikat Sabah FC dengan keputusan 1-1 di Stadium Darul Aman pada Sabtu.