“Masa Saya Akan Tiba” – Johan Ghazali
UltraSukan
Johan Ghazali

Petinju berbakat Malaysia, Johan Ghazali bersangka baik dan yakin masanya untuk menyinar akan tiba.

Atlet berusia 20 tahun itu mewakili Malaysia dalam pertarungan Muay Thai kategori flyweight pada ONE Friday Fights 164 / kad The Inner Circle 24, namun tidak bernasib baik.

Pertarungan sengit itu menyaksikan petinju Lubnan, Ramadan Ondash menang ke atas Johan Ghazali melalui keputusan split decision selepas 3 pusingan.

Sejujus selepas perlawanan, Johan Ghazali menzahirkan rasa tidak puas hatinya susulan beberapa keputusan kontroversi yang menyelubungi pertarungan beliau dan Ramadan.

“Saya pasti orang ramai merasakan benda yang sama (keputusan hari ini). Banyak perkara yang saya nak mengadu terutamanya tentang pelindung mulut (Ramadan),” katanya.

Beliau juga mahu satu perlawanan ulangan diadakan semula susulan kekalahan malam Selasa itu untuk kembali menebus kekecewaannya.

“Ini bukan sebab duit. Saya mahukan perlawanan ulangan semula secepat mungkin,” katanya lagi kepada One Championship.

Johan pada hantaran media sosialnya yakin bahawa masanya akan tiba dan kembali menemui sentuhan kemenangan atas gelanggang.

“Masa saya akan tiba. Percaya kepada proses,” tambahnya lagi.