Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski berpandangan bola sepak Malaysia memerlukan masa untuk berubah dan tidak boleh diselesaikan dalam tempoh yang singkat.
Peter Cklamovski meluahkan pandangan tersebut dalam sidang media khas sempena persiapan Malaysia menentang Cape Verde untuk aksi persahabatan kelak.
“Saya dan staf saya di pasukan kebangsaan cuba untuk melakukan sesuatu untuk negara (Malaysia) ini. Kami mahu kembangkan pasukan negara untuk menjadi sesuatu yang boleh dibanggakan.
“Ketika saya memulakan tugas saya, saya perhatikan bola sepak Malaysia dalam semua aspek. Saya menyaksikan perlawanan bola sepak dan latihan pasukan bersama staf saya. Saya melihat semuanya termasuk pembangunan bakat muda.
“Saya berpendapat bola sepak Malaysia perlukan bantuan. Masalah yang wujud dalam bola sepak Malaysia ketika ini tidak boleh diselesaikan dalam sehari ataupun dalam satu tugasan antarabangsa.
“Jika kita buat kajian tentang masalah dan apa cara untuk atasinya, saya bersama staf saya dalam program pasukan kebangsaan mempunyai penyelesaian untuk membantu bola sepak Malaysia.
“Perkara ini tidak boleh diselesaikan dalam jangka masa yang singkat. Perkara ini memerlukan masa untuk melihat hasil perkembangan tersebut.” ujar Peter Cklamovski.
Malaysia akan turun menentang Cape Verde yang berada di kedudukan ke-72 dunia pada 29 Mei ini untuk aksi persahabatan di Stadium Cheras.