Jaguh motosikal negara, Hafizh Syahrin Abdullah membuka kempen sulung JDT Racing Team dalam Asia Road Racing Championship (ARRC) 2024 dengan langkah kiri.
Ini selepas Hafizh terpaksa menarik diri daripada perlumbaan pertama pusingan pertama ARRC 2024 kategori Asian Superbike 1000cc (ASB1000) yang diadakan di Litar Antarabangsa Chang, Thailand hari ini.
Ini susulan masalah jentera yang dihadapinya semasa pusingan pertama perlumbaan ASB1000. Hafizh sebelum itu meraih kedudukan ketiga dalam pusingan kelayakan dengan merekodkan catatan masa 1:34.733 saat.
Posisi tersebut dimanfaatkan sepenuhnya Hafizh sebaik perlumbaan pertama ASB1000 bermula.
Pada peringkat awal, beliau berjaya menduduki tempat kedua di belakang pelumba Honda Dream Asia Racing Team dari Indonesia, Andi Farid Izdihar selepas memintas rakan sepasukannya dari Thailand, Nakarin Atiratphuvapat.
Malangnya, kedudukannya secara perlahan-lahan mula dipintas oleh pelumba lain termasuk mentor lamanya dalam dunia permotoran, Azlan Shah Kamaruzaman.
Sebaik menyedari jenteranya berdepan masalah teknikal, Hafizh yang hampa terpaksa kembali ke paddock dan menarik diri daripada perlumbaan.
Perlumbaan pertama ASB1000 dimenangi Azlan Shah yang memintas Andi Farid pada pusingan terakhir perlumbaan. Sementara seorang lagi rakan sepasukan Andi Farid, Zaqhwan Zaidi menduduki tempat ketiga.
Hafizh berharap isu yang membelenggu jenteranya hari ini tidak berulang menjelang perlumbaan kedua yang berlangsung pada hari esok.