Selepas isu padang yang melanda stadium FC Seoul, Stadium Piala Dunia Seoul, dua kelab Korea Selatan iaitu Ulsan HD dan Gwangju FC kini berdepan masalah sama.
Isu ini timbul susulan semakan di laman sesawang rasmi Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) baru-baru ini. Stadium untuk aksi membabitkan Ulsan dan Gwangju yang berlangsung pada 22 dan 23 Oktober ini diletakkan di bawah label TBC (masih belum diputuskan).
Berdasarkan semakan pada tarikh tersebut, Gwangju bakal menentang Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) untuk aksi ketiga Liga Timur ACLE pada 22 Oktober. Manakala Ulsan pula bakal melayan kunjungan Vissel Kobe sehari selepas itu.
Meskipun sebab label TBC pada dua aksi berkenaan tidak dinyatakan, portal Korea Football News percaya ia ada kaitan dengan isu padang Stadium Piala Dunia Gwangju dan Stadium Bola Sepak Ulsan Munsu.
Sekiranya isu padang kedua-dua stadium gagal ditangani segera, aksi membabitkan Gwangju-JDT dan Ulsan-Vissel Kobe berpotensi diadakan di venue alternatif.
Isu padang bola sepak Korea Selatan bukan sekali mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan pemain bola sepak negara itu.
Bekas bintang Manchester United, Jesse Lingard menyifatkan kualiti padang Stadium Bola Sepak Seoul yang teruk menyukarkan kelabnya, FC Seoul beraksi dengan baik.
Sementara kapten Korea Selatan, Son Heung-min pula menyifatkan padang Kompleks Sukan Sultan Qaboos di Muscat, Oman jauh lebih baik daripada padang stadium berkenaan.
Komen tersebut dilontarkan beliau selepas aksi kelayakan Piala Dunia 2026 membabitkan kedua-dua pasukan itu beberapa minggu yang lalu.