Ketua jurulatih Thailand, Masatada Ishii sedar bahawa perbezaan kualiti pemain Jepun dan pemainnya amat ketara.
Menurut laporan daripada Ta Lao, jurulatih berusia 56 tahun itu sedar akan tahap kualiti pemainnya yang jauh ketinggalan berbanding pemain negara Matahari Terbit itu.
“Saya sedar betapa jauhnya jarak Thailand dengan Jepun”, komen beliau selepas perlawanan.
Tambah beliau lagi, pengalaman beraksi menentang Jepun kali ini amat berharga dan akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak-anak buahnya pada masa akan datang.
”Saya perlu menggunakan pengalaman yang diperoleh dari hari ini dalam perlawanan akan datang.”
Jepun menampilkan pemain-pemain yang beraksi di Eropah seperti Junya Ito, Ritsu Doan dan Takumi Minamino pada perlawanan itu.
Beberapa pemain bintang yang lain seperti Takehiro Tomiyasu, Wataru Endo dan Kaoru Mitoma masih belum menyertai atas sebab baru selesai tugasan bersama kelab masing-masing.
Keputusan perlawanan tersebut menyaksikan Jepun tiada masalah untuk menumbangkan Thailand dengan skor 5-0 hasil jaringan Ao Tanaka, Keito Nakamura, jaringan sendiri Elias Dolah, Takumu Kawamura dan Takumi Minamino.
Dalam saingan Piala Asia nanti, Jepun diundi di kumpulan D bersama-sama Indonesia, Iraq dan Vietnam. Manakala, Thailand berada di kumpulan F bersama Arab Saudi, Kyrgyzstan dan Oman.