Thailand bakal tampil berbeza berdepan Malaysia bagi aksi ketiga ASEAN Championship.
Changsuek turun dengan motivasi tambahan selepas membelasah Timor Leste dengan keputusan 10-0 di tempat lawan.
Khabar gembira hadir dalam kem anak buah Masatada Ishii apabila sudah memiliki barisan terbaik dengan kehadiran beberapa pemain pada kem berdepan Harimau Malaya.
“Ini aksi pertama kami (Thailand) di laman sendiri. Kami juga sudah memiliki 26 orang pemain iaitu skuad penuh bagi aksi ini (vs Malaysia) dan juga baki perlawanan.
“Dua pemain (Ekanit dan Supachok) lewat menyertai kem latihan pusat. Kita juga sudah menyediakan pelan yang berbeza tetapi kami tidak boleh memberitahunya. Kita sudah bersedia dengan sebarang situasi,” katanya pada sesi sidang media pra-perlawanan hari ini.
Pengendali kelahiran Jepun itu tetap berwaspada menentang skuad kebangsaan sungguhpun memiliki kelebihan di atas kertas.
“Sebelum perlawanan, kita juga sudah menganalisis Timor Leste tetapi sebaliknya terjadi di atas padang. Sama juga seperti menentang Malaysia, aksi di atas padang menjadi penentu.
“Bercakap tentang perkembangan di Asia Tenggara, banyak perkara yang terjadi. Jadi, bukan mudah untuk barisan kejurulatihan bagi membentuk skuad terbaik ,” tambahnya.
Aksi antara Thailand vs Malaysia dijadualkan berlangsung pada 14 Disember jam 9 malam di Rajamangala, Bangkok.