Matic Malukan Onana ‘Dia Penjaga Gol Paling Teruk Manchester United’
MakanBola
Manchester United
Sponsors

Perang mulut tercetus antara bekas bintang Manchester United, Nemanja Matic dan penjaga gol utama pasukan itu, Andre Onana.

Akhbar Daily Mail melaporkan Matic berang dengan komen penjaga gol Cameroon itu yang melabel United lebih baik daripada pasukannya, Olympique Lyon.

Ad

Komen tersebut dibuat menjelang aksi suku Liga Europa UEFA (UEL) antara The Red Devils dan Les Gones pada awal pagi 11 April.

Ad

Matic menyifatkan Onana tidak sepatutnya membuat komen sebegitu lebih-lebih lagi dengan siri kesilapan berprofil tinggi yang dilakukannya di Old Trafford.

Malah, bekas jeneral tengah Chelsea itu turut menyifatkan Onana sebagai penjaga gol terburuk dalam sejarah United.

Ad

“Untuk mengatakan perkara sebegitu, anda perlukan perlindungan untuk katakan perkara tersebut. Onana, saya hormat semua orang tetapi untuk komen tersebut, maka anda perlu berikan jawapan,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan.

Ad

“Jika anda salah seorang daripada penjaga gol terburuk dalam sejarah Manchester United, anda perlu hati-hati dengan apa yang anda katakan.

Ad

“Jika David de Gea, Peter Schemeichel atau Edwin van der Sar yang mengatakannya, baru saya akan tanya kepada diri sendiri (perbandingan antara kedua-dua pasukan).”

Semakan di Transfermarkt menunjukkan Onana hanya merekodkan 18 perlawanan tanpa bolos dalam 99 penampilan untuk United setakat ini.

Ini jauh berbeza dengan de Gea, van der Sar, Schemeichel dan Fabien Barthez. Mereka masing-masing mencatatkan 190, 135, 180 dan 50 perlawanan tanpa bolos sepanjang bersama The Red Devils.

Tidak lama selepas komen Matic tular di media sosial, Onana kemudiannya membalas dengan mengatakan beliau tetap menghormati Lyon sebagai satu pasukan yang kuat.

Pada masa sama, beliau turut menyindir Matic kerana gagal meraih sebarang trofi sepanjang tempohnya di Old Trafford.

“Saya tidak pernah tidak menghormati kelab lain. Kita tahu perlawanan esok merupakan perlawanan sukar menentang satu pasukan yang kuat.

“Kita fokus membuat persiapan agar dapat mempamerkan prestasi yang membuatkan penyokong kita bangga.

“Sekurang-kurangnya saya sudah merangkul trofi bersama kelab terhebat di dunia. Sesetengah orang tidak boleh katakan perkara sama.”

Matic beraksi selama lima musim di Old Trafford dan merekodkan 189 penampilan. Meskipun begitu, beliau tidak dapat menambah koleksi trofi yang dimenanginya bersama Chelsea.

United akan berdepan Lyon di Parc Olympique Lyonnais untuk aksi suku akhir pertama pada awal pagi 11 April. Ini disusuli aksi timbal balik di Old Trafford pada 18 April.

Subscribe
Notify of
0 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments